Ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 3.0 dan aktivis sosial Hishamuddin Rais berkata rakyat tidak memerlukan perhimpunan itu buat kali keempat jika kerajaan dan Umno didakwa masih terus menipu dalam pilihan raya umum akan datang.
Sebaliknya, katanya, rakyat sendiri akan mengurus perhimpunan tanpa organisasi seperti BERSIH atau parti politik untuk membantah tindakan tersebut dan tidak mustahil boleh mencecah sehingga satu juta orang berbanding perhimpunan Sabtu lalu.
Bercakap dalam forum pasca-BERSIH 3.0 di ibu negara malam tadi, Hishamuddin menyifatkan ia bukan "satu ancaman" sebaliknya janji dan tidak mustahil sentimen keluar beramai-ramai ke jalanan akan berlaku.
"Kalau perkara (tuntutan) asas (BERSIH) tidak didengari, rakyat tidak perlu organisasi seperti BERSIH untuk menyusun (perhimpunan.
"Kita sudah ada BERSIH satu, dua dan tiga. Kamu sudah graduasi. Sudah boleh buat sendiri (perhimpunan). Kamu sudah dapat ijazah protes jalanan, sudah boleh buat sendiri," katanya sambil diiringi dengan tepukan dan gelak ketawa hadirin yang hadir.
Beliau menyifatkan kehadiran ratusan ribu peserta yang membanjiri Kuala Lumpur Sabtu lalu berada atas landasan yang betul sebagai bantahan terhadap sistem pilihan raya di negara ini.
'Untuk pertahan Najib'
Hishamuddin menjawab pertanyaan umum berhubung keharusan mengadakan perhimpunan itu kali keempat selepas peserta perhimpunan tidak dibenarkan memasuki Dataran Merdeka - lokasi asal - untuk mengadakan protes itu kerana larangan mahkamah.
Sebaliknya mereka mengadakan protes 'duduk bantah' di kawasan berdekatan dataran tersebut, yang kemudiannya dihujani dengan gas pemedih mata dan air kimia daripada polis untuk menyuraikan mereka.
Dalam forum yang bertajuk "Keganasan polis dan media blackout"malam tadi, Hishamuddin mengingatkan supaya rakyat tidak lagi berbincang dan menyalahkan mana-mana pihak yang didakwa cuba memecah halangan yang dibuat.
Ini kerana, katanya, persoalan tersebut bukan satu perkara asas sebaliknya mendakwa mengubah kerajaan merupakan perkara pokok kepada rakyat.
"Kita nak jatuhkan United Malays National Organisation. Itu perkara fundamental. Oleh itu kita jangan lari... Stay on the point terhadap lapan agenda kita... Kami mahu lapan tuntutan itu dilunaskan," tambahnya.
Mengulas mengenai dakwaan keganasan polis pada perhimpunan tersebut, Hishamuddin mendakwa ia dilakukan untuk "mempertahankan Najib Razak".
Aziz Bari: Keganasan semakin teruk
Turut diundang menjadi penceramah adalah Ketua Pengarang Malaysiakini Fathi Aris Omar, Ketua Penerangan PKR Lateefah Koya, bekas pensyarah Undang-undang UIA Dr Abdul Aziz Bari dan peguam Haijan Omar.
Sebelum itu, Dr Abdul Aziz mendakwa keganasan polis dalam perhimpunan itu tidak berakhir dan nampak semakin teruk, seperti tergambar dalam rakaman video menunjukkan peserta dipukul.
Bagaimanapun, beliau - yang turut ditahan pada hari tersebut - menegaskan supaya isu keganasan polis tidak melarikan fokus rakyat mendesak supaya reformasi sistem pilihan raya diteruskan.
"Lagi mengecewakan apabila Umno dan BN menggunakan isu ini untuk mengalih daripada isu sebenar. Ini meletakkan BN berasa selesa," katanya.
Sementara itu, Lateefah yang juga seorang peguam mendakwa keganasan dilihat "sebati dengan polis" dan pihaknya berusaha mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara tersebut.
Dakwanya, pihaknya turut mendapat banyak panggilan telefon daripada orang ramai yang mendakwa dikasari polis dalam perhimpunan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan