Beliau berkata, badan-badan itu mempelbagaikan penggunaan tanah wakaf dengan membina sekolah agama, universiti serta hospital berbanding di Malaysia yang pada kebiasaannya menggunakan tanah wakaf untuk mendirikan masjid atau tanah perkuburan.
"Malah sekolah-sekolah agama juga dibiayai Nahdlatul Ulama yang bukan atas sifat parti politik, tetapi mereka adalah badan agama yang bebas di Indonesia," katanya kepada pemberita sejurus tiba dari Jakarta, Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini malam tadi.
Beliau serta agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri sebelum itu berada di Jakarta dalam rangka lawatan tiga hari bagi mengadakan pertemuan
dengan Menteri Agama Indonesia Suryadharma Ali serta organisasi agama dan badan bukan kerajaan untuk bertukar pandangan dan mengadakan kerjasama dalam hal ehwal agama.
Jamil Khir berkata, pada lawatan itu mereka turut menemui barisan kepimpinan Muhammadiyah, iaitu satu lagi badan agama yang turut membangunkan tanah wakaf
dengan mendirikan hampir 100 universiti dan kolej yang ditadbir sendiri.
"Cara mereka membangunkan tanah wakaf dengan mendirikan universiti dan hospital wajar kita contohi kerana kos untuk membina sebuah hospital amat tinggi, tetapi ia mampu ditangani Muhammadiyah yang memiliki pengikut hampir 22 juta orang," katanya.
Sehubungan itu Jamil Khir berkata Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) akan kembali ke Indonesia untuk mempelajari secara terperinci berhubung pembangunan tanah wakaf.
Menerusi lawatan itu, kedua-dua negara turut bersetuju mengadakan pertemuan tahunan antara menteri yang bertanggungjawab tentang agama Islam, menjalinkan
hubungan antara ulama, serta pertukaran bahan televisyen berkaitan agama Islam dengan TV Al-Hijrah.
Kerajaan Indonesia juga melahirkan rasa gembira dengan kunjungan Malaysia untuk bertukar-bertukar pandangan mengenai hal-ehwal agama, malah mereka mengagumi Malaysia kerana berjaya mengelolakan ibadah haji dengan baik, kata Jamil Khir. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan