Jumaat, 18 Mei 2012

DAP yang saya kenal

 Oleh Iza Suraiya




Saya bukan ahli DAP. Saya mengenali parti politik terutamanya DAP setelah saya mendengar beberapa pendapat daripada beberapa orang yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam politik. Pelbagai  andaian yang dibuat sehingga mendorong saya untuk lebih tahu tentang DAP.

Bagi saya, DAP adalah sebuah parti pelbagai kaum. Ia memberi peluang dan ruang untuk mereka yang baru mahu berjinak-jinak dengan politik untuk memilih DAP sebagai sebuah platform bersuara. Umum mengetahui DAP adalah parti demokrasi sosial yang meletakkan keadilan sosial dan peluang saksama tanpa mengira kaum dan agama sebagai asas utama.

Ruang untuk golongan muda

Hal ini, sedikit sebanyak membuka ruang kepada golongan muda terutamnya untuk membuat pilihan. Jika diperhatikan, PAS sebagai contoh, membawa mesej Islam; begitu juga dengan PKR yang menyampaikan mesej keadilan demi rakyat. Begitu juga dengan DAP, parti ini membawa sebuah dasar demokrasi telus dan tulen, dan ini yang menyebabkan mengapa pada ketika ini DAP sudah boleh diterima oleh masyarakat.

Jika dilihat, DAP banyak melahirkan pemimpin-pemimpin yang berani. Ini tidak mungkin berlaku dalam parti-parti politik yang tidak mengamalkan ketelusan dan demokrasi. Kerana keberanian ini wujud disebabkan mereka diberi ruang dan peluang untuk bersuara, lantas menyuarakan pendapat.

Pada pandangan saya, inilah yang menjadikan DAP berbeza dengan parti-parti yang lain. Dan sesiapa sahaja boleh menjadi pemimpin tanpa menyekatnya dengan menggunakan sistem hiraki mahu pun orang dari kalangan kaum, agama, usia atau jantina tertentu sahaja boleh menjadi pemimpin parti.

Bila dilihat dari skop yang lebih besar, sepatutnya kita sebagai masyarakat tidak boleh menidakkan parti ini. Ini telah dibuktikan pada pemerintahan Pakatan Rakyat, khususnya di Pulau Pinang dan Selangor yang mana pimpinan DAP mempunyai peranan yang sewajarnya telah menunjukkan kematangan sistem pengurusan dan pentadbiran yang baik dan bermutu.

Malah, walau pun hanya setahun Pakatan Rakyat memerintah Perak, sebelum dirampas kuasa secara kotor oleh Barisan Nasional, pimpinan DAP telah menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat miskin, termasuk orang Melayu, lebih baik daripada apa yang diwarwarkan oleh UMNO serta BN.

Berkongsi idea dan usaha

Tidak dapat dinafikan kematangan ini jelas dibuktikan apabila adanya program-program Pakatan Rakyat di mana DAP tidak lokek untuk menyuarakan idea mahu pun pendapat selain membantu sedikit-sebanyak dalam hal untuk medapatkan dana bagi membantu rakyat.

Mereka tidak diskriminasikan orang muda termasuk perempuan seperti saya yang baru mengenali politik. Mereka mengadakan program bersama secara ikhlas dan jujur. Selain itu, mereka juga mempunyai nilai-nilai yang baik terutamanya dalam soal menghormati hak orang lain, terutamanya dengan komponenan Pakatan Rakyat, PAS dan PKR.

Walau pun DAP sebuah parti yang kecil, secara peribadinya saya tidak menafikan kehadiran parti ini sebenarnya membawa kesan yang besar kepada parti-parti lain, terutamanya UMNO-BN. Lihat saja program kebajikan di Pulau Pinang yang kini ditiru bulat-bulat oleh kepimpinan BN. Bezanya ialah dana Pakatan Rakyat diperolehi daripada penjimatan hasil dividen anti-rasuah sedangkan BN hanya mempergunakan wang rakyat untuk pembangunan yang ditaburkan sebagai gula-gula politik. Masalahnya nanti, di mana mahu digantikan wang pembangunan rakyat itu?

Pergerakan pelbagai kaum yang konsisten

DAP mempunyai pergerakan yang konsisten dan inilah yang menyebabkan mereka aktif walau pun saiz parti yang agak kecil. Mungkin pemimpin dan ahli mereka sudah biasa dengan budaya gigih bekerja tanpa mengira penat lelah kerana mereka benar-benar yakin dengan perjuangan untuk membela rakyat. Saya juga amat terkesan dengan politik yang dibawa oleh DAP yang lantang menjuarai isu-isu rakyat pelbagai kaum.

Sejak menjadi oposisi pada tahun 1960-an dahulu sehinggalah diberi mandat memerintah Pulau Pinang pada 2008, semua ini dibuktikan dengan jelas di Pulau Pinang dengan mengotakan apa yang telah dijanjikan.

Saya lebih suka menjadikan Pulau Pinang sebagai contoh kerana selama lebih 50 tahun UMNO-BN memegang tampuk pemerintahan, nasib orang Melayu masih tidak dapat menunjukkan sebarang kejayaan.

Sebaliknya selepas Lim Guan Eng mengambil alih kuasa selama empat tahun sahaja, pelbagai nikmat dikecapi oleh orang Melayu Pulau Pinang. Jika ada yang masih merungut pun, mereka mungkin lupa bahawa sebelum 2008, BN lah yang menjadi kerajaan negeri.

Walau pun sentiasa difitnah, ramai orang Melayu tidak pernah terfikir bahawa DAP di Pulau Pinang telah berjasa besar kepada sekolah agama rakyat, guru Kafa, para huffaz dan program bulanan Al-Quran. Malah program-program meningkatkan syiar Islam ini, setahu saya, tidak pernah dilakukan oleh kerajaan negeri BN dahulu walau pun pimpinan UMNO banyak bercakap tentang agama.

Pengalaman peribadi

Secara peribadi pula, apabila saya hadir di perhimpunan BERSIH 3.0 baru-baru ini di mana saya berada dalam kelompok orang-orang DAP yang sedang berarak menuju ke Dataran Merdeka, kami saling bantu-membantu dan menjaga kebajikan serta keselematan masing-masing. Masa itu tidak ada sesiapa merasakan dirinya atau kaumnya atau agamanya lebih mulia daripada yang lain. Masa itu terasa sangat semangat setiakawan, khususnya kami kalangan muda, lekaki dan perempuan.

Oleh hal yang demikian, saya secara peribadinya merasakan DAP bukan sahaja tidak seteruk yang difitnahkan oleh mereka yang iri hati atau benci kepada perpaduan kaum, malah saya sarankan mereka yang mudah terpengaruh dengan dakyah politik supaya melihat sendiri fakta dan kebenaran yang ada di depan mata.

Satu lagi kelebihan pada DAP ialah berjaya melahirkan beberapa pemimpin wanita yang tidak kurang hebatnya. Ini adalah kerana DAP mengamalkan budaya siapa yang layak tidak akan dinafikan haknya untuk diangkat sebagai pemimpin, tidak kira jantina, umur, kaum, agama.

Apa yang DAP perjuangkan, iaitu peluang saksama, itulah yang diamalkannya. Inilah DAP yang saya kenal. – Roketkini.com

Tiada ulasan: