Semalam, kepimpinan Umno Lembah Pantai mendakwa PKR membuat tuduhan tidak berasas kononnya ceramah anjurannya di Lembah Pantai diserang oleh ahli parti teras Barisan Nasional (BN) itu.
Dalam reaksi segera pada petang semalam, Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR, menolak dakwaan Umno itu.
Kata Nurul Izzah, pihaknya mempunyai bukti rakaman video yang boleh menunjukkan dakwaan Umno Lembah Pantai tidak berasas.
Ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini, Ketua Penerangan Umno Lembah Pantai, Datuk Ibrahim Thambychik berkata, PKR boleh terus-menerus membuat penafian, tetapi yakin penduduk Lembah Pantai sendiri tidak dapat menafikan apa sebenarnya berlaku tempoh hari.
“Kita tidak kisah jika PKR ingin nafikan kerana bagi Umno, kita akan memberi sepenuh kebebasan kepada penduduk Lembah Pantai bagi menilai sendiri insiden itu.
“Mereka sendiri ada di situ, jadi seharusnya mereka tahu pihak mana yang bersalah,” kata beliau.
Beliau sendiri hadir dalam majlis anjuran Majlis Permuafakatan Muslim Lembah Pantai ketika hari kejadian dan melihat dengan jelas bagaimana penyokong PKR mula membuat kecoh dan mengejek seorang ustaz yang sedang memberi ceramah.
“Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana penyokong PKR seolah-olah tidak menghormati dan mempersendakan agama dalam majlis yang sedang berjalan ketika itu,” tambah beliau.
Pihaknya juga menasihati ahli Umno agar sentiasa bertenang dan tidak cepat melatah dengan insiden yang berlaku tempoh hari.
“Jangan timbulkan sebarang spekulasi. Biarkan mereka (PKR) menuduh kita, tetapi kita jangan menuduh mereka dalam isu ini. Jangan kita membuat spekulasi yang tidak berasas seperti yang mereka buat,” tambah beliau.
Malah menurut beliau, Anwar membuat kesilapan yang besar kerana telah merosakkan imejnya sendiri di hadapan penduduk Lembah Pantai apabila mengeluarkan perkataan kesat yang ditujukan kepada ahli Umno malam itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan