Isnin, 14 Mei 2012

Bersih 3.0: Serah diri sebelum Rabu

SINAR HARIAN

Datuk Seri Khalid Abu Bakar
 
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar
 
 
KUALA LUMPUR - Polis masih menunggu 120 peserta, perhimpunan yang bertukar ganas di ibu negara pada 28 April lepas, yang disiarkan wajah mereka dalam media, untuk menyerah diri sehingga esok.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata sehingga semalam, 21 peserta terbabit ditahan dengan sebahagiannya menyerah diri kepada polis dan ada yang ditahan di rumah mereka.

Beliau berkata secara keseluruhan polis telah menyiarkan 141 gambar wajah demonstran yang dipercayai terbabit dalam rusuhan di Dataran Merdeka itu.

"Kita akan mengesan dan menangkap mereka yang belum menyerah diri. Kita tidak perlukan waran tangkap kerana ia kesalahan lazim ditangkap dan merusuh merupakan kesalahan lazim," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen derma darah peringkat polis kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada 28 April lepas, segelintir daripada peserta perhimpunan itu bertindak merempuh penghadang untuk memasuki Dataran Merdeka sekali gus melanggar perintah Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang melarang kehadiran orang awam di dataran itu mulai 28 April hingga 1 Mei.

Berikutan itu, polis menyiarkan gambar peserta berkenaan melalui media dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Bakri Zinin berkata polis akan membuat tangkapan dari rumah ke rumah terhadap peserta perhimpunan, yang enggan menyerah diri, mulai Rabu ini setelah tempoh seminggu diberikan untuk mereka.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak membenarkan perhimpunan itu dijalankan di Dataran Merdeka dan memberikan tempat lain sebagai pilihan kerana dataran hanya sesuai untuk acara rasmi peringkat nasional.  -- Bernama

Tiada ulasan: