Selasa, 1 Mei 2012

Bersih 3.0: NUJ mahu panel bebas siasat polis serang media

SINAR HARIAN


Bersih 3.0: NUJ mahu panel bebas siasat polis serang media
 
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ)


KUALA LUMPUR - Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) meminta kerajaan supaya menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menyiasat insiden serangan yang didakwa melibatkan anggota polis terhadap wartawan dalam perhimpunan yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan disokong pembangkang Sabtu lepas.

Kesatuan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata jawatankuasa bebas itu harus mengambil alih siasatan kerana serangan itu melibatkan polis yang dituduh melakukan keganasan terhadap anggota media.

"Wartawan, termasuk dari media asing dipukul semasa bertugas merupakan satu tuduhan yang serius dan ia jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi serta hak wartawan untuk melakukan tugas dalam suasana dan persekitaran yang aman," katanya.

Jawatankuasa bebas itu perlu diketuai oleh sekurang-kurangnya tiga anggota iaitu seorang hakim yang bersara, bekas Presiden Majlis Peguam dan ahli akademik yang pakar dalam kewartawanan dan undang-undang kewartawanan.

"Biarlah jawatankuasa tersebut memanggil anggota polis yang terlibat dan para wartawan serta jurugambar untuk memberi keterangan supaya orang ramai akhirnya mengetahui apa yang berlaku semasa perhimpunan itu," kata kenyataan itu.

Kesatuan itu berharap agar hasil daripada laporan siasatan itu dapat dijadikan panduan kepada sebarang insiden yang tidak diingini pada masa akan datang.
 
Sementara itu, Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas dan merusuh oleh peserta perhimpunan itu dan menyifatkan mereka bertindak keterlaluan di luar batasan undang-undang dan tidak bertamadun.
 
Kelab itu juga kesal di mana dua orang wartawan cedera semasa menjalankan tugas mereka secara profesional dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur serta peserta yang terlibat secara langsung terhadap tindakan keganasan yang berlaku.
 
KWMM juga memuji tindakan serta keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang melawat mangsa yang cedera dan berjanji untuk menyiasat kejadian tersebut.- Bernama

Tiada ulasan: