Jawatankuasa Tindakan Tatatertib UM mendapati mereka bersalah kerana mengalungkan bunga ke atas gambar pemimpin negara ketika demonstrasi menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bulan lalu.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohamad Safwan Anang, 23, berkata, “kami memberitahu pada awalnya simbolik kalungan bunga hanyalah sebagai satu sindiran.”
“Jika menyebabkan ketenteraman awam terganggu mesti polis dah ambil tindakan dan tangkap kami. Sepanjang perbicaraan, panel hakim hanya mempersoalkan mengenai adab sahaja.
“Mereka (hakim) kata tak sopan dan ini bercanggah dengan nilai budaya orang Melayu. Kami tanya adakah mereka menghormati hak kami berdemo? Mereka mempersetujui hak berdemo tetapi jangan buat kalungan bunga.
“Mereka kata tak sopan, apa definisi tak sopan? Kami hanya letak kalungan bunga yang boleh ditafsir dengan pelbagai contoh seperti kalungan tahniah atau simbolik kematian hak mahasiswa. Kita kecam sekerasnya hukuman ni dan akan buat rayuan kepada UM,” katanya ketika ditemui kampus UM hari ini.
Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Zaini menegaskan, perbicaraan yang bersidang pagi tadi adalah sesuatu yang mengecewakan.
“Kita berhujah atas undang-undang dan Perlembagaan tapi mereka tidak memberi respons. Mereka (jawatankuasa disiplin tatatertib) akui demo hak bersuara tak boleh tapi mereka lebih menekankan adab isu kesopanan.
“Kita kata itu bukan isu yang patut dibincang, kita berhujah mengenai akta dan perlembagaan, mereka tak boleh jawab. Malah mereka akui hak berdemo. Tindakan ini (hukuman) akan memburukkan nama UM dan ini boleh menjatuhkan ranking UM,” katanya.
Syahid berkata, tindakan UM satu konspirasi untuk mematikan suara mahasiswa, dan jika berterusan idealisme anak muda akan mati kerana akan dibayangi oleh perintah Auku.
Pelajar tahun satu jurusan Undang-Undang UM, Mohd Haziq Abdullah Abd Aziz; 20, pula berkata, perbicaraan pagi tadi berat sebelah.
“Hakim menuduh kami, sepatutnya hakim mendengar hujah tertuduh dan mesti ada seorang pendakwa raya, tetapi di sini yang mendakwa menyuruh kami mengaku bersalah adalah hakim sendiri, malah hujah yang diutarakan tidak dijawab mengikut lunas undang-undang.
“Kita akan kemukan rayuan kepada pihak universiti dalam masa dua minggu seperti yang diberikan, malah akan mempertimbangkan untuk membawa hal ini ke mahkamah. Mengenai perkara ini (mahkamah) kami akan umumkan nanti," katanya.
Mereka dikenakan tindakan di bawah Seksyen 16C Kaedah Universiti Malaya (Tatatertib pelajar-pelajar tahun 1999) dan kesalahan melanggar undang-undang kaedah 3A (i), 3A (ii).
Jawatankuasa Disiplin Tatatertib Pelajar UM menjatuhkan hukuman amaran lisan supaya tidak mengulangi perbuatan itu lagi, denda tidak melebihi RM200 dan pengantungan pengajian selama satu semester kepada tiga mahasiswa SMM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan