Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) menyeru pihak media dan wartawan sentiasa melaporkan isu-isu penting yang memberi kesan kepada kehidupan dan hak-hak rakyat, khususnya di Sarawak.
Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata, media mesti memainkan peranan profesional melaporkan sesuatu perkara tanpa rasa takut seiring dengan tanggungjawab menyampaikan maklumat.
"Suhakam berharap agar dapat bekerjasama dengan pihak media bagi memantau dan membantu melindungi hak asasi manusia untuk kepentingan rakyat, kerana tanggungjawab ini bukanlah sahaja eksklusif kepada Suhakam tetapi juga tanggungjawab kita semua sebagai warga-negara Malaysia yang tercinta," katanya.
Berucap dalam majlis makan malam bersama media di Kuching malam tadi, Hasmy bagaimanapun mengingatkan, sebagai negara yang demokratik dan berbilang kaum, penting bagi media mengedarkan maklumat secara bertanggungjawab, beretika dan berdasarkan fakta.
Sementara itu, beliau juga mengambil peluang mempertahankan perjuangan membela hak asasi manusia yang digelar sesetengah pihak sebagai "agama baru" sebelum ini.
"Sesetengah pihak ada berpendapat bahawa perjuangan menuntut hak asasi sebagai satu fahaman atau 'agama baru' ataupun gaya kehidupan baru masyarakat di zaman ini. Ini adalah tidak benar.
"Sebaliknya, perjuangan hak asasi manusia telah bermula sejak tamadun manusia berkembang dan kesedaran tentang pentingnya untuk kita tuntut dan pertahankan hak asasi ini harus dilihat secara terbuka dan positif," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan