Khamis, 8 Disember 2011

Sikap Umno-BN bantut Kg Seri Aman

Kerajaan negeri terdahulu telah menukar pendirian sebanyak empat kali dalam membuat keputusan berhubung pembangunan tanah lot kampung itu.



PETALING JAYA Sikap acuh tak acuh pentadbiran Umno-Barisan Nasional terdahulu berkenaan pembangunan lot tanah Kampung Seri Aman, Kuala Selangor membawa masalah kepada pentadbiran Pakatan Rakyat.

Menurut satu kenyataan media dari pejabat Menteri Besar, antara tahu 2001 hingga 2007, kerajaan negeri terdahulu telah menukar pendirian sebanyak empat kali dalam membuat keputusan berhubung pembangunan tanah lot itu.

Berdasarkan maklumat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), pada 16 Januari 2001 kerajaan negeri membenarkan cadangan pembangunan secara penswastaan kepada Westmine Development Sdn Bhd (Westmine) dan sebagai timbang balas, pemaju mestilah membina bangunan JKR, surau serta dewan.

Pada 29 Mei 2001, Pentadbir Tanah Kuala Selangor menerima permohonan rasmi dari Westmine yang telah menjalankan bancian yang mana terdapat 169 peneroka yang terlibat. Pemaju bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) bersetuju untuk menyelesaikan masalah setinggan

Kata kenyataan itu, mereka ditawarkan dengan sebuah rumah kos rendah berharga RM35,000 dan elaun perpindahan RM2,000 manakala setinggan fasa 1 diberi pilihan samada pindah ke rumah sementara atau menerima elaun sewa sebanyak RM500 sebulan.

Namun, pada 5 Disember 2005, Upen menulis surat kepada Pentadbir Tanah Selangor memberitahu bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 26 Oktober 2005 menarik balik kelulusan pembangunan penswastaan kepada Westmine, tambah kenyataan itu.

Tetapi pada 18 Oktober 2006, MMKN mengubah keputusan dengan membenarkan Westmine meneruskan kerja dan pentadbir tanah menyelesaikan masalah 27 setinggan yang terlibat dengan pembangunan Fasa 1. Pemaju diberi tempoh selama tiga bulan untuk menyelesaikan masalah setingggan.

Pada 2007, kerajaan negeri sekali lagi mengubah keputusan dengan membatalkan projek pembangunan penswastaan kepada Westmine sebaliknya meluluskan pemberimilikan tanah kepada 169 pemohon di kawasan tersebut.

Bagaimanapun kata kenyataan itu, notis 5A untuk pemilikan tanah tidak dikeluarkan kepada mereka.

Pada 15 Julai 2008, Westmine menyaman kerajaan negeri kerana membatalkan projek penswastaan. Kes saman ini memberi kesan kepada kerajaan negeri kerana kerja pembangunan tidak dapat dijalankan.

Kerajaan negeri hanya dapat meneruskan pembangunan tanah tersebut apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan saman tersebut pada 27 Oktober lalu.

Kata kenyataan itu, setelah meneliti semua aspek, kerajaan negeri membuat keputusan untuk menyediakan satu penyelesaian yang menyeluruh dengan mengambil kira pembangunan yang teratur.

Tawaran rumah teres dua tingkat

Baru-baru ini, kerajaan negeri menawarkan sebuah unit rumah teres dua tingkat dengan keluasan 20’ x 60’ dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air yang dijual pada harga subsidi iaitu RM70,000 berbanding harga pasaran sekitar RM120,000 kepada 111 penduduk Kampung Seri Aman.

Sekiranya penduduk tidak berminat dengan tawaran pembelian ini atau tidak layak mendapat pinjaman bank/pembiayaan, kerajaan negeri akan memberi jaminan (underwrite) kepada penduduk untuk membeli semula unit tersebut pada harga RM110,000 sekaligus memberi keuntungan RM40,000 apabila unit tersebut dijual.

“Jika penduduk lebih berminat untuk memiliki tanah sedia ada tanpa kerja tanah dianggarkan sejumlah RM2 juta bagi memastikan kemudahan infrastruktur dapat disediakan untuk penduduk.

“Ini adalah satu keputusan wajar memandangkan kampung ini seringkali menghadapi masalah banjir akibat kedudukan rumah yang tidak tersusun, kemudahan jalan dan sistem perparitan yang tidak sempurna,” jelas kenyataan itu.

Kerajaan negeri perlu memastikan pemberimilikan tanah memenuhikeperluan dan perancangan pembangunan yang ditetapkan oleh

Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dengan mengambil kira keselamatan, kesihatan, bencana alam dan untuk kepentingan ramai.

Pilihan ini akan dibentangkan oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad kepada semua penduduk kampung yang berhak pada pertemuan yang akan ditetapkan kelak.

Justeru, dakwaan penduduk bahawa kerajaan negeri dan Menteri Besar selaku Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Ijok tidak melakukan sebarang tindakan adalah tidak benar sama sekali. Sepanjang kes ini dibawa ke mahkamah, kerajaan negeri tidak boleh mengadakan sebarang pembangunan.

Bagaimanapun kata kenyataan itu, kerajaan negeri faham masalah penduduk yang menunggu terlalu lama untuk mendapat pembelaaan sewajarnya.

Tambah pula, ada pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mengapi-apikan penduduk. Lebih malang, individu yang membuat kecoh ketika majlis dialog pada 4 Disember lalu tidak tersenarai sebagai pemilik tanah.

Menurut kenyataan itu, penyediaaan perumahan yang selesa kepada penduduk menjadi agenda penting dalam pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

“Walaupun masalah-masalah ini ditinggalkan kerajaan negeri terdahulu, kerajaan negeri yang ada sekarang akan menyelesaikan masalah ini demi kepentingan rakyat,” terang kenyataan itu.

Tiada ulasan: