Khamis, 8 Disember 2011

Calon boleh menang yang bagaimana?

Ada perbezaan di antara calon yang masyarakat akar umbi mahu dan calon yang pemimpin atasan mahu.

COMMENT



Calon boleh menang (winnable candidate) yang bagaimana pemimpin parti politik mahukan dan calon boleh menang bagaimana pula yang kita mahu?

Dalam memperkatakan pemilihan calon selalu ada perbezaan calon bagaimana yang dimahukan masyarakat akar umbi dengan calon yang dimahukan oleh sang pemimpin di atas sana.

Perbezaan kemahuan pemimpin dengan kemahuan rakyat terbanyak ini bukan sahaja berlaku dalam parti pemerintah sahaja, malah parti pembangkang juga tidak ketinggalan.

Kalau kita mungkin mahukan calon yang berani mendedahkan penyelewengan, tetapi sebaliknya sang pemimpin pula mendambakan calon yang boleh diharap untuk melindungi segala rahsia, baik rahsia parti mahupun rahsia mereka sendiri.

Ketika kita mahukan calon yang berani berkata ‘tidak’ dan ‘jangan’ kepada sang pemimpin walaupun pahit untuk ditelan, sang pemimpin mungkin mahukan seseorang yang sentiasa mengatakan ‘baik tuan’ kepadanya.

Jika kita mahukan calon yang bijak mengendalikan masalah yang dihadapi oleh rakyat terbanyak, sang pemimpin lebih berminat dengan calon yang pandai mengendalikan urusan perniagaan.

Kalau kita mahukan calon yang bersih dan beramanah, mungkin sang pemimpin pula mahukan orang yang boleh ‘diajak berunding’.

Kalau kita mahukan calon yang cukup mengenali setiap jalan, lorong, bukit-bukau dan masyarakat di kawasan kita, sang pemimpin pula mengidamkan calon yang cukup dia sendiri kenal.

Kalau kita mahukan calon yang kita kenal sejarah, latar belakang, asal-usul, emak bapak dan keturunannya, sang pemimpin lebih suka calon yang umum tidak mengetahui sejarah silamnya.

Kita mungkin mengharapkan calon yang selalu berada di kawasan, lebih-lebih di saat diperlukan tetapi sang pemimpin pula lebih gemar calon yang umpama ‘super escort’ kepadanya.

Kota janji atau tabur janji?

Apabila kita mahukan calon yang tahu mengotakan janji, sang pemimpin lebih suka calon yang pandai menaburkan janji.

Jika kita mahukan calon yang boleh diharap untuk menasihati sang pemimpin, sang pemimpin juga mahukan calon yang boleh menjadi penasihat 25 persen kepadanya.

Begitulah lebih kurang kemungkinan-kemungkinan perbezaan kemahuan antara rakyat bawahan dengan ahli-ahli politik di atas puncak sana.

Agaknya, mungkin itulah yang dimaksudkan calon ‘winnable’ yang menjadi sebutan ahli politik dan pemerhati politik masa kini.

Mungkin baginya, calon-calon yang dipilihnya itu adalah ‘calon ‘winnable’ seperti yang disyaratkannya.

Bagaimanapun, kalau tidak kena gayanya nanti bukanlah calon ‘winnable’ yang sang pemimpin dapat, sebaliknya calon yang menyebabkan sang pemimpin berkata, ‘wa kena beb!’

Tiada ulasan: