MALAYSIA CHRONICLE
KUALA LUMPUR. - Walaupun usia sudah mencecah 66 tahun dan bergelar nenek, seorang ahli perniagaan wanita yang kaya-raya di Indonesia sanggup terbang jauh ke Malaysia semata-mata ingin bertemu kekasih siber bergelar 'Datuk' yang melamarnya untuk dijadikan isteri.
Bukan itu sahaja, wanita terbabit sanggup mengirim wang sebanyak AS$75,000 dolar (RM226,000) kepada kekasihnya itu sebagai modal untuk menjadi rakan kongsi dalam perniagaan.
Namun, hajat nenek itu untuk berkahwin dengan lelaki pujaannya tidak kesampaian kerana lelaki itu rupa-rupanya adalah kasanova 'Awang Hitam' yang bijak memperdayakan wanita kesunyian melalui Internet.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, wanita warga Indonesia itu berkenalan dengan suspek menerusi laman sosial Facebook sejak beberapa bulan lalu.
Beliau berkata, ketika berkenalan, suspek menggunakan nama lelaki Melayu mendakwa dia ahli perniagaan bergelar 'Datuk' dari Malaysia.
"Setelah beberapa bulan berkenalan, suspek mempelawa wanita itu untuk menjadi rakan kongsinya.
"Tanpa berfikir panjang, mangsa bersetuju dan hubungan mereka bertambah 'serius' apabila suspek melamarnya menjadi isteri. Ini menyebabkan mangsa tidak teragak-agak mengirim wang AS$75,000 kepada teman lelakinya itu untuk membeli barang- barang berniaga," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Bukit Perdana di sini hari ini.
Syed Ismail berkata, walaupun mangsa diarah memasukkan wang ke dalam akaun milik individu lain, namun wanita itu langsung tidak menyedari ditipu dan sanggup datang ke Malaysia untuk bertemu kekasihnya itu apabila diminta berbuat demikian.
Beliau berkata, sebaik sahaja tiba di ibu negara, mangsa tidak sempat bertemu dengan teman lelakinya kerana suspek hanya menghantar seorang rakan iaitu seorang lelaki warga Afrika untuk menemuinya berhampiran sebuah hotel di Bukit Bintang.
Menurutnya, dalam pertemuan itu, lelaki Afrika terbabit telah menunjukkan bungkusan berisi kertas berwarna hitam dan sejenis cecair.
"Lelaki Afrika itu memaklumkan kertas hitam itu adalah wang AS$2.4 juta dan ia akan bertukar kepada wang asli jika dicuci dengan cecair yang dibawa.
"Suspek bagaimanapun tidak menyerahkan barang-barang itu kepada mangsa dengan alasan dia perlu membuat sejumlah pembayaran terlebih dahulu," katanya.
Syed Ismail berkata, mangsa yang tidak menyedari sudah terjerat dengan sindiket black money pulang semula ke Indonesia bagi menyediakan wang tanpa menemui kekasihnya.
Beliau berkata, teman lelaki mangsa berterusan menghubunginya meminta segera menyediakan wang untuk mendapatkan barang-barang ditawarkan rakannya itu dan pada masa sama mengajak wanita itu berkahwin segera kononnya dia sedang sakit dan merancang mewasiatkan semua harta kepada bakal isterinya itu jika meninggal dunia.
Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu dan membuat laporan polis pada November lalu, apabila sekali lagi datang ke Malaysia tetapi teman lelaki masih enggan berjumpa dengannya-Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan