MALAYSIA CHRONICLE
KUALA TERENGGANU - Bagi menghentikan 'fitnah bersiri' yang dianggapnya melampau, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said akan mengambil tindakan saman terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Batu Buruk, Dr. Syed Azman Syed Ahmad.
Menurut Ahmad, tindakan serupa akan diambil terhadap lidah rasmi Pas iaitu Harakah, pengerusi dan penerbitnya berhubung dakwaannya kononnya berlaku penyelewengan peruntukan RM30 juta pembekalan pakaian seragam sekolah.
Bercakap kepada pemberita selepas sesi akhir persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini, Ahmad berkata, beliau sedih dan kesal dengan sikap wakil Pas itu yang berterusan melemparkan fitnah kepada kepimpinannya dan kerajaan negeri.
''Pembohongan sebegini patut dihentikan dan mereka perlu diajar apatah lagi semakin ramai di kalangan kita yang mudah percaya dengan setiap pembohongan," ujarnya.
Katanya, selain cuba menjatuhkan maruahnya, fitnah itu dilemparkan untuk menghakis kepercayaan umum dan usaha menutup kebaikan yang dihulurkan secara meluas kepada rakyat terutamanya golongan miskin.
''Itulah yang ditakuti Pas apabila pelbagai bentuk bantuan disalurkan untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat, termasuk pemberian e-Book kepada pelajar yang turut menjadi sasaran.
''Maka mereka akan terus mengaitkan dengan ketirisan, kebocoran, penyelewengan untuk menggambarkan kerajaan negeri jahat, mengutamakan kroni dan sebagainya," katanya.
Terdahulu ketika menggulung perbahasan, beliau mengucapkan terima kasih kepada Dr. Azman kerana membuat semua kenyataan bohong itu dalam akhbar Harakah yang bertajuk Seleweng RM30 juta bantuan sekolah?
Dr. Azman kemudian membawa perkara itu sebagai usul tergempar yang ditolak oleh Dewan pada hari pertama sidang.
Wakil pembangkang itu dalam kolum Ganu Kite menulis bahawa Ahmad meluluskan pembekalan pakaian sekolah bernilai RM10 juta selama tiga tahun dengan harga oleh pembekal begitu tinggi daripada harga pasaran.
Ahmad menjelaskan, dalam laporan Ketua Audit Negara kontrak pembekalan pakaian hanya satu tahun iaitu pada tahun 2009 dengan nilai kontrak sebenar RM7.995 juta dan bukannya RM10 juta.
''Tidak disebut dalam laporan Ketua Audit Negara 2010 kononnya berlaku salah lalu dan penyelewengan serta kebocoran sebaliknya pujian diberikan kerana ia telah dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga miskin," ujarnya.
Katanya, pembekal dilantik setelah membuat perbandingan harga yang ditawarkan syarikat lain iaitu Mysutera Sdn. Bhd. yang dahulunya dikenali sebagai KUB Tekstil Sdn. Bhd. (sebagai tanda aras kualiti) dengan harga yang ditawarkan RM161.60 bagi set lelaki dan RM173.90 bagi set perempuan.
''Tetapi harga yang dibekalkan oleh kerajaan hanyalah RM150. Hanya pada tahun itu kerajaan meluluskan pembelian pakaian untuk mengelak pemberian disalah guna manakala pada 2007, 2008 dan 2010 dalam bentuk wang tunai," ujarnya.
Beliau menarik perhatian, sebenarnya terdapat salah faham pihak audit terhadap harga yang ditawarkan pembekal berbanding harga di pasaran kerana menganggap ia harga pasang.-Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan