Rabu, 21 Disember 2011

MBSA Bantu 33 Anak Yatim Beli Barangan Sekolah

Oleh Hafizan Taib


SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) membantu 33 orang pelajar anak yatim dan miskin dalam program membeli belah Jom Ke Sekolah di Pasaraya Mydin di sini hari ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata program tersebut adalah usaha dan langkah MBSA dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Shah Alam (MPP) Zon 15 bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan terutama dalam penyediaan perbelanjaan persekolahan anak-anak ke sekolah.

Beliau berkata, program yang memasuki tahun keempat diketuai Pengerusi MPP Zon 15 merangkap Ahli Majlis MBSA, Abdul Manaf Yusof, adalah tanggungjawab sosial korporat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

"Ahli Majlis kita serah beg sekolah, baju sekolah, kasut sekolah. Sekurang-kurangnya dapat meringankan keluarga ini. Jadi anak-anak ini dapat masuk sekolah pada 3 Januari dengan baik dan bersedia untuk ke sekolah," katanya kepada media selepas majlis perasmian.

Mohd Jaafar berkata, program tersebut merupakan platform MBSA untuk mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat dan pada masa yang sama menghulurkan bantuan kepada pihak memerlukan.

Menurutnya, pelajar yang terpilih dalam program itu berusia dari tujuh hingga 16 tahun dan setiap seorang daripada mereka menerima bantuan membeli barangan keperluan sekolah bernilai RM100 selain dibantu pihak pengurusan Mydin dengan beberapa peralatan sekolah yang lain.

Katanya, MBSA memberi sokongan kepada setiap Ahli Majlisnya merangka sebarang program bercorak kemasyarakatan.

Ketika ditemui, Mohamad Azizul Hakimi Azizuddin, 10, pelajar Tahun Empat dari Kampung Sungai Kandis di sini berkata dia gembira menerima barangan sekolah berupa pakaian, beg, stokin dan kasut sekolah dari program Jom Ke Sekolah anjuran MBSA itu.

Katanya, dia berterima kasih kepada MBSA dan menguatkan azamnya untuk belajar bersungguh-sungguh apabila memulakan sesi persekolah pada tahun depan.

"Saya gembira terpilih menyertai program ini dan bersemangat untuk belajar dengan tekun," katanya.

Begitu juga Nor Syafinaz Azli, 11, Pelajar Tahun Lima dari kampung sama berkata dia bersyukur mendapat pemberian barangan sekolah dari MBSA dan amat menghargainya.

"Saya serta keluarga rasa seronok dan tentunya saya lebih bersedia untuk ke sekolah tahun depan," katanya.

Tiada ulasan: