Rabu, 21 Disember 2011

Dr Rani : Umno-BN Cuba Lagakan DAP-Pakatan

Oleh Afeeqa Afeera


SHAH ALAM : Pakatan Rakyat Selangor (Pakatan) mengutuk sekeras-kerasnya serangan pihak tertentu yang mendakwa parti DAP sedang merancang untuk mengambil kerusi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan meletakkan calon Melayu di kerusi majoriti bangsa Melayu.

Kenyataan itu disuarakan tiga pemimpin Pakatan Rakyat yang diwakili oleh Exco Selangor, Teresa Kok, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Abdul Rani Osman dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dalam sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di sini hari ini.

Dr Rani berkata, pembohongan yang semakin giat disebarkan itu dilihat sebagai satu usaha terdesak kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) khususnya untuk menakut-nakutkan orang Melayu supaya tidak menyokong calon-calon Pakatan dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Hakikatnya, tegas Dr Rani, DAP adalah sebuah parti berbilang kaum namun telah di'penjara'kan dalam imej parti 'bukan Melayu' oleh pihak Umno-BN sebagai strategi politik pecah dan perintah yang telah mereka gunakan ke atas rakyat Malaysia selama ini.

"Pembohongan UMNo ingin mereka teruskan dengan menimbulkan suatu persoalan yang tidak pernah ditimbulkan oleh mana-mana pihak dalam Pakatan. DAP telah mencadangkan kepada Pakatan Selangor supaya mereka dibenarkan untuk meletakkan calon Melayu dari DAP di kawasan Melayu.

Ini dicadangkan oleh DAP dengan tujuan supaya parti itu boleh membebaskan dirinya daripada imej yang mereka di'penjara'kan di dalamnya oleh pihak Umno. Perbincangan dilakukan secara tenang dan terbuka bersama rakan-rakan Pakatan dan bukan secara tertutup ataupun rahsia," ujarnya yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Tambahnya, persoalan pengambil alihan jawatan Menteri Besar juga tidak pernah timbul, bahkan Pakatan Selangor berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menggantikan tempat beliau.

Jelasnya, pimpinan Pakatan yakin bahawa melalui kerjasama dan semangat saling sokong-menyokong yang ditunjukkan parti selama ini, prestasi negeri Selangor di bawah pimpinan Abdul Khalid akan bertambah baik danbukan sebaliknya.

Justeru, rakyat Malaysia amnya dan Selangor khususnya diharapkan supaya tidak terus terpengaruh dengan politik perkauman sempit yang diperjuangkan kerajaan Umno-BN selama ini dalam usaha menutup amalan rasuah dan penyelewengan yang menjadi darah daging mereka selama ini.

"Sekali lagi kami dari Pakatan mengutuk sekeras-kerasnya usaha adu-domba dan persengketaan yang berbau perkauman yang disebar-luaskan pihak Umno dan merayu supaya mereka meninggalkan tabiat yang terburuk dan terkutuk ini demi kepentingan negara.

Sebaliknya sekiranya mereka enggan, dan sudah pasti mereka enggan, kerana tiada apa melainkan itu di pihak mereka, maka kami menyeru rakyat Malaysia untuk menolak Umno dan BN dalam PRU-13," tegasnya.

Tiada ulasan: