Rabu, 21 Disember 2011

Jangan percaya Lelaki X

Oleh Daing Yahya

Satira


Salam sejahtera tuan-tuan dan puan-puan,

Jika tuan-tuan mahu tahu, sayalah orangnya yang telah membangunkan Malaysia. Dahulu kita tidak pernah termimpi untuk memiliki bangunan tertinggi di dunia, walau pun untuk sementara waktu, sekurang-kurangnya kita pernah mengecapi kejayaan membina menara paling tinggi di dunia, ini telah meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju.

Selama mengecapi kejayaan ini, masih ada pihak yang memperlekehkan usaha saya itu, mereka mengatakan tiada faedah untuk rakyat Malaysia, membazirlah dan bermacam-macam lagi umpatan keji dan hina kepada saya.

Ya, saya akui, memang para petani, nelayan, pekebun dan peniaga kecil tidak mendapat manfaat secara langsung dengan adanya menara berkembar Petronas. Menara ini dibina untuk menjadi kebanggaan kita. Ia kebanggaan negara. Ia kebanggaan kepada orang Melayu.

Kepada para petani dan nelayan, sama-samalah tumpang bangga. Itu sudah mencukupi. Jangan risau apa-apa. Kerajaan tahu apa yang baik untuk anda.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Konspirasi parti lawan

Itu baru satu sahaja usaha saya. Tidakkah anda bangga dengan litar F1 Sepang, pembinaan KLIA, pembinaan Putrajaya dan bermacam-macam lagi. Semua ini adalah usaha kerajaan, walau pun semua itu hasil wang cukai titik peluh rakyat yang rajin bekerja dan berniaga.

Sayangnya, pencapaian hebat saya masih terus dicemburui oleh parti lawan terutamanya, apa nama tu, Pakatan Rakyat dan pemimpin mereka Lelaki X.

Kini mereka menuduh saya lagi, kali ini tuduhan mereka sangat dahsyat. Mereka menuduh saya telah memohon pinjaman Bank Dunia dan IMF untuk projek pembangunan Malaysia. Mustahil saya berbuat begitu sebab sayalah penentang utama IMF dahulu. Tuan-tuan dan puan-puan sudah lupakah bagaimana hebatnya saya melawan IMF sewaktu Malaysia menghadapi krisis ekonomi kahir tahun 1990-an dahulu?

Yang tergila-gila sangat nak sokong IMF dahulu adalah Lelaki X yang pada masa itu dia menjadi timbalan saya. Semua orang tahu ini.

Cuma saya ingin jelaskan bahawa, memang saya tak pernah minta pinjaman Bank Dunia atau IMF. Tapi apabila mereka beri pinjaman, saya terimalah.Tapi saya tak pernah minta. Semua tuduhan ini adalah palsu belaka.

Sudah terbukti bahawa Lelaki X ini memang pengkhianat bangsa, negara dan agama. Saya yakin bahawa di sebalik serangan ini, beliau telah dibayangi oleh puak-puak DAP. Parti DAP ini sudah mencucuk jarum kepada Lelaki X untuk membolehkan rakyat Malaysia mendapat peluang saksama dan mengamalkan demokrasi bebas.

Tahukah tuan-tuan dan puan-puan bahawa peluang saksama akan menutup peluang usahawan-usahawan UMNO kita? Kita telah lihat di Pulau Pinang bagaimana kontraktor-kontraktor Melayu berjaya mendapat projek atas kemahiran dan kelayakan mereka. Sedangkan ramai kontraktor UMNO yang tak cukup kelayakan tak mendapat apa-apa. Inikah yang kita mahu untuk UMNO?

Begitu juga dengan demokrasi dan hak kebebasan yang boleh meranapkan kuasa UMNO sebagai tonggak orang Melayu. Relakah kita jika para pemimpin Melayu daripada PKR, PAS dan DAP yang memegang kuasa? Mana boleh, kuasa telah ditetapkan untuk kita UMNO.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dalang sebenar

Lelaki X telah terperangkap dengan agenda DAP. Begitu juga dengan parti PAS. Tidakkah anda pelik mengapa orang yang baik, bijaksana dan berjiwa pejuang seperti Dr. Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa boleh diperlekehkan sebegitu rupa oleh parti PAS sendiri, parti yang kononnya berjuang atas nama Islam?

Pejuang-pejuang Melayu yang hebat seperti Hasan Ali dan Nasharudin mahu kepada UMNO tetapi puak-puak DAP yang telah meracun pemikiran pucuk pimpinan PAS terutamanya Mat Sabu yang mahu kepada Negara Berkebajikan. Apa guna Negara Berkebajikan PAS jika UMNO yang selama ini telah menolong beberapa orang Melayu khususnya Menteri dan keluarga mereka menjadi jutawan?

DAP mahu memastikan PAS tidak meneruskan agendanya untuk melaksanakan hukum hudud dan menegakkan negara Islam. Walau pun saya sendiri menolak hudud dan negara Islam ala PAS, itu tidak menjadi soal. Saya pemimpin besar, saya tahu apa yang saya cakapkan. Percayalah saya.

Jika tuan-tuan dan puan-puan masih ragu-ragu lagi, ini saya bawakan lagi bukti yang paling jelas.

Dalam Muktamar PAS yang lalu, bagaimana orang seperti Mat Sabu boleh menang jadi Timbalan Presiden PAS? Mengapa pejuang-pejuang Melayu dan Islam yang hebat serta berjiwa UMNO seperti Nasharudin Mat Isa dan Hasan Ali boleh tewas dalam pertandingan itu?

Inilah bukti DAP telah menguasai pemikiran para pemimpin PAS. Sehingga sanggup ahli-ahli PAS menolak pemimpin berjiwa UMNO untuk digantikan dengan mereka yang berjiwa demokrasi dan mahu keadilan untuk semua.

Kita dalam UMNO menolak judi dan arak. Kita hanya ambil hasil cukai daripada industri ini. Samalah dengan lesen judi yang kerajaan saya keluarkan kepada kasino di Genting. Wang cukai itulah yang kita mahu, itu bukan duit judi.

Ia tak sama dengan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang memberi wang judi kepada warga emas. Memang saya tak ada bukti tapi itulah yang saya dengar daripada pemimpin UMNO Pulau Pinang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kepalsuan dalam pencapaian PR

Janganlah hendaknya kita percaya dengan janji-janji palsu Pakatan Rakyat. Memang mereka boleh laksanakan jika mereka menang nanti, saya akui. Tetapi tuan-tuan jangan lupa, jika mereka melaksanakan janji-janji itu, maka akan miskinlah para pemimpin UMNO. UMNO ini adalah orang-orang Melayu, orang-orang Islam.

Jadi adakah tuan-tuan dan puan-puan mahu bangsa kita merempat dan miskin kerana tidak lagi duduk di bawah payung UMNO?

Apa yang parti lawan warwarkan tentang kejayaan di Selangor dan Pulau Pinang, janganlah tuan-tuan percaya. Apalah sangat dengan slogan Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) itu? Ia tak setanding dengan slogan kita dulu Bersih, Cekap dan Amanah yang telah melahirkan jutawan-jutawan Melayu. Berapa ramai jutawan Melayu yang CAT telah hasilkan?

Hutang negeri Pulau Pinang pimpinan DAP kini sudah menyusut kepada RM30 juta dari RM600 juta yang ditinggalkan oleh Barisan Nasional dahulu. Apalah hebat sangat itu. Kita mesti banyak berhutang untuk membangunkan negara dan melahirkan ramai jutawan.

Tentang laporan Ketua Audit Negara yang meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri paling bersih, cekap dan bijaksana dalam urus tadbir kerajaan, itu bukanlah gambaran yang jelas dan tepat. Ia sekadar menunjukkan tahap perbezaan antara negeri.

Apa yang hebat sangat Pulau Pinang yang ditadbir oleh Lim Guan Eng? Memang ramai orang Melayu mendapat manfaat, miskin tegas dihapuskan, bantuan diberi kepada guru KAFA dan para huffaz. Tapi apa ertinya itu semua jika dunia tidak kenal siapa jutawan kita, apa mercu tanda negara kita. Tidak ada apa yang boleh dibanggakan di Pulau Pinang.

Jika tuan-tuan dan puan-puan percaya dengan Lelaki X dan Pakatan Rakyat, alamat musnahlah masa depan UMNO. Ingatlah, tanpa UMNO, orang Melayu hilang tempat berteduh.

Apa guna menyokong Lelaki X dan Pakatan jika anda hanya mendapat demokrasi, kebebasan, hak asasi, peluang saksama, tender terbuka, keadilan untuk semua, negara berkebajikan, peluang kerja dan pengajian tinggi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: