Roketkini.com
BERUAS– Keberkesanan pentadbiran dan dasar pro-rakyat yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat telah banyak memberikan faedah yang besar kepada rakyat tanpa mengira warna kulit dan faham politik.
Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham berkata, kecekapan dan ketelusan pentadbiran di negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara baru-baru ini telah menyebabkan Barisan Nasional cemas.
Katanya, rasa cemas itu menyebabkan BN terpaksa mengikut jejak langkah Pakatan dengan mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat dengan lebih banyak melalui program pembangunan mahu pun skim-skim bantuan lain.
“Dengan adanya Pakatan Rakyat, rakyat mendapat berbagai faedah. Dalam tempoh 40 hingga 50 tahun ini, apakah kerajaan pernah memberikan RM500 kepada rakyat dan RM100 kepada murid-murid sekolah?
“Ini semua dilakukan sekarang kerana adanya perssaingan dari Pakatan Rakyat. Dari sudut mana pun, rakyat yang untung apabila memilih Pakatan Rakyat,” katanya dalam satu ceramah di sini baru-baru ini.
Ngeh yang juga Ahli Parlimen Beruas berkata kerajaan negeri Perak di bawah pentadbiran BN yang merampas kuasa dari Pakatan Rakyat pada Februari 2009 kini meniru Pakatan untuk memberi RM300 juta bagi pembangunan negeri yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Ini semua kerana pentadbiran kerajaan negeri Perak di bawah Pakatan Rakyat pada tahun 2008 sangat baik. Secara langsung ia meletakkan pentadbiran kewangan negeri di landasan cemerlang kerana semua sisa-sisa dalaman yang terlibat dalam rasuah sudah berhentikan,” ujarnya.
Walau pun begitu, beliau menasihatkan pengundi di Perak supaya tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji manis BN kerana mereka masih bermain politik perkauman yang akan terus memecahbelahkan perpaduan rakyat.
Untuk mendapatkan ‘pakej’ lengkap pentadbiran bersih dan anti-perkauman serta bersifat pro-rakyat, Ngeh berharap lebih ramai pengundi akan memilih Pakatan dalam pilihan raya umum akan datang bagi memastikan kemenangan yang lebih stabil.
“Kita dalam Pakatan merupakan sebuah keluarga yang besar. Saya harap seluruh rakyat negeri ini terus memberi sokongan yang padu kepada Pakatan Rakyat,” tambah beliau. –Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan