SHAH ALAM- Pemuda Pas menggesa Umno Pulau Pinang memohon maaf kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan kakitangan kerajaan negeri itu di atas tindakan mereka menghadiahkan kek berupa najis manusia sempena hari kelahirannya.
Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas, Mohd Sany Hamzan berkata, perbuatan 'biadap' dan tidak bertamadun itu dianggap menghina Guan Eng sebagai ketua menteri.
"Sebagai parti yang dikatakan mewakili orang Melayu Islam, tindakan menghadiahkan sesuatu di atas niat untuk menghina orang lain termasuk kepada orang yang bukan Islam adalah bersalahan dengan hukum agama apatah lagi dengan tata susila bangsa Melayu yang terkenal dengan baik pekerti dan halus budi.
"Kami cukup kecewa dengan tindakan tidak matang Umno Pulau Pinang yang masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa Barisan Nasional (BN) telah kalah dan menjadi pembangkang di Pulau Pinang. Mereka umpama tidak keruan apabila tidak lagi mempunyai peluang untuk membolot harta kekayaan negeri. Tindakan mereka yang sentiasa cuba memfitnah kerajaan negeri sehingga kini telah menunjukkan ‘rupa sebenar’ Umno yang tidak dapat menerima kekalahan secara anak jantan dan berjiwa besar," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Selain itu, beliau juga meminta supaya Presiden dan Majlis Tertinggi Umno menasihat dan mengambil tindakan tegas terhadap Umno Pulau Pinang agar kejadian sama tidak berulang dan dapat menjadi ikhtibar kepada pemimpin Umno di negeri lain.
"Mereka juga telah memberikan imej buruk orang Melayu Islam sebagai orang yang lemah lembut, berbudi pekerti dan berjiwa besar kepada orang lain terutamanya kepada orang bukan Islam. Berpolitik biarlah dengan cara yang sihat dan bukan dengan dendam kesumat," ujarnya./Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan