Khamis, 15 Disember 2011

Dusun Di Dalam Bandar Bagi Taman USJ2 Oleh Lizawati Madfa

TVS NEWS


SUBANG JAYA, : Penduduk USJ 2 kini dapat merasakan suasana kampung halaman dengan adanya Dusun Rakyat yang dibangunkan berhampiran kawasan padang perumahan tersebut.

Pengumuman Projek Dusun Rakyat itu dibuat ketika sidang media ADUN Subang Jaya, Hannah Teoh pagi ini di padang perumahan USJ2.

Menurut Ahli Majlis MPSJ, Rajiv Rishyakaran projek ini yang berkeluasan satu ekar merupakan bekas peninggalan tanah yang digunakan oleh Jabatan Penerbangan Awam untuk Lapangan Terbang Subang yang akhirnya berjaya diambil alih oleh pihak MPSJ setelah sekian lama terbiar.

"Semenjak 2009 pihak kami telah berusaha untuk mendapatkan hak tanah ini daripada pihak berkenaan dan usaha ini berjaya direalisasikan pada tahun ini," jelas Rajiv yang juga merupakan Jawatankuasa Penduduk Zon 3.

Selain itu, pihak MPSJ juga melahirkan rasa bertuah dengan penglibatan syarikat Saint Gobain Construction Sdn Bhd yang menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya dengan menghantar lebih kurang 60 orang rombongan kakitangannya untuk menanam anak pokok buah-buahan di kawasan dusun itu sekitar dua minggu lepas.

"Apabila pokok ini telah matang dan berbuah, diharap penduduk disini mendapat manfaat daripada projek ini dan menikmati hasilnya," ujar Rajiv.

Sewaktu pengumuman Dusun Rakyat itu dibuat, penduduk di sidang media itu kelihatan bersorak gembira menyambut berita baik itu.

Salah seorang penduduk, Penny Chia, 65 menceritakan bahawa sebelum ini para penduduk telah terlebih dahulu berbakti kepada tanah tersebut dengan menjalankan aktiviti penanaman sayur-sayuran seperti ubi dan ulam-ulaman lain.

"Kebanyakan daripada penduduk adalah pesara yang sukarela bercucuk tanam bagi mengisi masa lapang disamping mendapatkan hasil bersama dengan aktiviti sebegini," tambah Penny.

Tiada ulasan: