Khamis, 15 Disember 2011

ANAK: Tiada Durian Runtuh Daripada Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings

Oleh Naeem Raffi


KUALA LUMPUR : Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) di bursa saham tahun hadapan bakal menyaksikan Felda kehilangan pendapatannya daripada RM 2.3 billion setahun kepada hanya RM508 juta sahaja.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman.

Mazlan menegaskan usaha kerajaan pusat itu akan menyebabkan tanah ladang kelapa sawit milik FELDA Plantation Sdn Bhd seluas 360,067 hektar bakal terkorban. Ini kerana ia akan dipajakan kepada FGVH selama 99 tahun sekirannya rancangan itu terus dilaksanakan.

"Dimana FGV ini diberikan hak sepenuhnya atau atas istilah lain, anugerah aman sentosa seperti nikmat masuk syurga.

"Maknanya kuasa yang dimiliki oleh FGV begitu besar sehingga ia mampu menelan semua FELDA,"tegas Mazlan.

Mazlan juga menyangkal pandangan yang kononnya para peneroka bakal menerima durian runtuh sekirannya FGVH disenaraikan di dalam pasaran saham.

Mazlan menambah, pihaknya difahamkan durian runtuh yang dimaksudkan itu adalah wang dan sejumlah saham dari tabungan Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Selain itu, Mazlan turut mempersoalkan kewajaran kerajaan dan pihak pengurusan tertinggi FELDA mengenakan arahan untuk Ketua Pengarah Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab bercuti.

Mazlan menyifatkan arahan bercuti keatas Dzulkifli itu sebagai satu proses penyingkiran kerana tidak mengikut telunjuk Pengerusi Felda Tan Sri Isa Abd Samad.

"Saya tampilkan bukti, ini adalah surat yang dihantar oleh Isa Samad kepada Perdana Menteri pada 21 November lalu, Isa Samad mengesyorkan kepada perdana menteri supaya Zulkifli mengambil cuti untuk belajar,"jelas Mazlan.

"Bagi saya, alasan diarahan cuti ini adalah satu alasan yang tidak masuk akal,kerana ini adalah proses penyingkiran terhadap beliau (Dzulkefli) kerana dirinya dianggap tidak mampu menjalinkan kerjasama, sebagaimana agenda yang dikehendaki oleh Isa Samad (senarai FGV kedalam bursa saham),"tambahnya.

Mengikut laporan sebuah laman web, Dzulkifli diarahkan untuk bercuti selama 6 hingga 9 bulan bermula 25 November lalu atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Sekurang-kurangnya 50 wakil peneroka FELDA hari ini berhimpun bagi menuntut supaya pengarah besarnya, Datuk Zulkifli Wahab dikekalkan jawatannya.

Selain membawa sepanduk, mereka turut melaungkan slogan "halau Isa" dan "hidup peneroka".

Tiada ulasan: