Mat Sabu berkata piket ini sebagai isyarat kepada kerajaan untuk memberi perlindungan kepada para pekerja tidak kira dalam mahu pun luar negara.
SHAH ALAM: Piket anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi membantah pindaan Akta Kerja 1955 berjalan dengan lancar petang tadi.
Walaupun hujan renyai, kira-kira 200 pekerja daripada pelbagai kesatuan sekerja dan pimpinan politik bersama-sama berhimpun di bulatan Persiaran Selangor, Seksyen 15, di sini sejak jam 5.00 petang.
Mereka membawa kain rentang dan kad tertulis seperti ‘Union basting’, ’Jangan perkosa hak kami’ ‘Jangan lupa pekerja swasta pengundi terbesar’ dan ‘Akta Kerja 1955 wujudkan kunta kinte Malaysia’.
Mereka turut melaungkan ‘hidup pekerja’ dan ‘tindas pekerja’.
Tindakan itu menarik perhatian orang ramai yang melalui kawasan tersebut, sambil kedengaran bunyi hon kenderaan masing-masing ketika mereka melalui kawasan piket.
Berlaku kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit namun kehadiran pihak polis berjaya memastikan keadaan lebih terkawal.
Antara pemimpin yang hadir termasuklah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu @ Mat Sabu, bekas presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud dan Exco Selangor Dr Xavier Jeyakumar.
Mat Sabu yang ditemui berkata piket ini sebagai isyarat kepada kerajaan untuk memberi perlindungan kepada para pekerja tidak kira dalam mahu pun luar negara.
“Ini isyarat kepada kerajaan agar tarik semula akta ini dan beri perlindungan kepada para pekerja tidak kira dalam atau pun yang berada di luar negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan