Jumaat, 4 November 2011

Masalah sosial remaja perlu kerjasama semua pihak mengatasinya

KENINGAU KINI

KENINGAU: Masalah sosial yang berlaku di kalangan remaja perlu kerjasama dari semua pihak untuk mengatasinya demi masa depan generasi itu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zahari Mohamed berkata, “sebagai ibu bapa kita juga ada perasaan, kita tidak mahu tindakan tegas pihak polis akan menjejaskan masa depan mereka. Kita tidak mahu perkara ini berlaku.”

Sehubungan dengan itu, kata Zahari, masyarakat perlu berganding bahu untuk menghindarkan remaja dari melakukan kegiatan yang merugikan diri sendiri.

“Cari pendekatan atau kegiatan yang boleh menghindarkan remaja dari kegiatan sosial yang merugikan masa depan. Peranan ibu bapa, ketua kampung atau masyarakat penting untuk pastikan apa yang remaja suka lakukan, ” kata Zahari.

Kata Zahari, remaja masa kini mempunyai pelbagai minat dan naluri, dan antara contoh pendekatan tersebut ialah aktiviti bersukan, rekreasi, hiburan yang boleh dimanfaatkan untuk golongan ini.

Selain dari itu kata Zahari, ibu bapa juga harus tahu apa aktiviti anak-anak mereka.

“Kita tidak salahkan ibu bapa dan masyarakat juga tidak harus salahkan ibu bapa semata,” katanya,” sambil menambah dihadapan kita ialah peranan masyarakat untuk menanganinya bersama,’ kata Zahari.

Tegas Zahari, terdapat remaja yang berkeliaran di pusat-pusat hiburan, terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan jenayah, bagaimanapun tahap kes melibatkan remaja di kawasan pedalaman masih terkawal.

Beliau juga meminta pusat-pusat hiburan supaya mematuhi peraturan dengan beroperasi mengikut masa yang ditetapkan.

Zahari berkata demikian kepada media selepas majlis Kenaikan Pangkat Koperal (Time based) di perkarangan Pejabat Polis Daerah di sini.

Sementara itu seramai 60 anggota polis menerima kenaikan pangkat. Upacara menyematkan pangkat itu dikendalikan oleh pasangan atau anggota keluarga masing-masing.

Beliau turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pucuk pimpinan kerajaan atas kenaikan pangkat tersebut berdasarkan time based.

“Bagi pihak polis di kawasan pedalaman kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau terhadap Polis Diraja Malaysia yang kini menikmati kenaikan pangkat dan penyelarasan gaji,” ujar Zahari.

Beliau seterusnya menasihati anggota polis untuk terus meningkatkan perkhidmatan mereka berasaskan nilai ketimuran dan keagamaan.

Tiada ulasan: