Khamis, 10 November 2011

Gaji GM PKNS lebih besar dari MB?

Pelantikan Othman Omar sebagai Pengurus Besar PKNS adalah meragukan dan tidak beretika dengan gaji serta elaun yang tidak munasabah, dakwa Satim Diman.



DUN SELANGOR

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman mendedahkan salah urus tadbir syarikat kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat.

Satim (BN-Sri Serdang) mendakwa pelantikan Othman Omar sebagai Pengurus Besar (GM – General Manager) PKNS pada 2009 lalu adalah meragukan dan tidak beretika dengan gaji serta elaun yang tidak munasabah.

Menurut Satim, Othman melalui tempoh perkhidmatan dari Februari 2009 hingga 2010 menerima pendapatan (gaji dan bonus) berjumlah RM1.4 juta dan angka itu tidak termasuk faedah tambahan lain.

“Kadar bonus yang dibayar kepada pegawai-pegawai dan kakitangan PKNS adalah tinggi jika dibandingkan dengan banyak syarikat swasta dan syarikat milik Kerajaan Pusat dan Negeri.

“Apatah lagi PKNS adalah sebuah agensi berkanun kerajaan. Malah gaji dan kemudahan-kemudahan lain Pengurus Besar PKNS mungkin lebih baik daripada Menteri Besar atau Ketua Setiausaha Negeri. Mungkin inilah yang tersirat.

Bonus besar

“Memaksimumkan keuntungan untuk menghalalkan bonus besar walaupun rakyat menanggung beban dan harga rumah PKNS yang melambung tinggi. KPI (Indeks Prestasi Utama) PKNS bukan memaksimumkan keuntungan semata-mata tanpa mengira tanggungjawab sosial,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2012 dalam persidangan Dun Selangor hari ini.

Katanya, PKNS juga melakukan pembaziran apabila melantik ramai perunding dan pegawai kontrak sedangkan perkhidmatan itu telah sedia ada.

Dakwa beliau pelantikan lebih ramai pegawai kontrak dan pakar perunding ini hanya meningkatkan kos pengurusan PKNS dan anak-anak syarikat lain.

Memberi contoh syarikat Beyond Brand Communication, penyediaan untuk teks ucapan Pengurus Besar berjumlah RM7,000, perkhidmatan perunding dan komunikasi masing-masing RM400,000. Tuntutan Julai RM34,800 dan program Rebranding PKNS RM200,000.

Menurutnya PKNS juga melantik Syarikat WEIPR milik Prof Erman Papazian sebagai perunding pembangunan hartanah selama enam bulan.

“Bayaran RM450,000 untuk Projek Science Park 2 dan RM485,000 untuk Bernam Jaya. Pelantikan tersebut juga tanpa kelulusan Jawatankuasa Tender PKNS. Saya nak tanya, berapa banyak pelaburan yang diperoleh PKNS? Berapa nilai pelaburan?,” soal beliau.

Justeru beliau mahu agar siasatan audit dilakukan segera terhadap PKNS serta semua anak syarikat lain milik kerajaan negeri.

Tiada ulasan: