SHAH ALAM : Penganalisis berpendapat pembentangan Belanjawan 2012 Kerajaan Negeri Selangor pada Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor esok menampilkan alternatif terbaik yang akan menyaingi Belanjawan Persekutuan.
Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, pembentangan Belanjawan 2012 kerajaan negeri juga pastinya meliputi peruntukan kepada golongan sasaran.
“Sudah pasti Selangor akan cuba untuk mengemukakan bajet alternatif yang baik untuk bersaing dengan bajet 2012 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.
“Walaupun bajet itu tidak menyeluruh seperti kerajaan pusat, namun Selangor akan berusaha untuk menunjukkan bahawa mereka juga mampu memberi terbaik kepada rakyat,” kata beliau.
Menurut Dr Sivamurugan, rakyat akan melihat sama ada kerajaan negeri akan mengumumkan defisit serta perbelanjaan dana setelah tiga lebih tiga tahun memerintah.
“Selangor adalah negeri penting kepada pembangunan negara, ini kerana ia dekat dengan pentadbiran kerajaan Pusat, selain menyumbang pelaburan dan memberi peluang pekerjaan,” katanya seperti di lapor Sinar Harian hari ini.
Sidang Dun Selangor dijangka bermula esok dan berakhir pada 18 November ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan