Hafiz Yatim
Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan ADUN Kota Siputeh Datuk Abu Hassan Sharif menghadiri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang akan bersidang esok.
Keputusan itu mengketepikan penangguhan keputusan oleh speaker DUN Kedah Dr Abdul Isa Ismail, yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan pada 2 November lalu.
Keputusan sebulat suara oleh Mahkamah Rayuan, dua minggu lalu itu bertujuan mengelakkan apa-apa keputusan yang dibuat oleh DUN - terutamanya semasa pembentangan bajet bulan ini - boleh diisytiharkan batal dan tidak sah jika mahkamah mendapati Abu Hasan bukan lagi seorang ADUN.
Keputusan Mahkamah Persekutuan tiga anggota panel hari ini adalah juga sebulat suara. Ia diketuai oleh Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin.
Dua hakim lain bersidang bersama adalah Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Ahmad Ma’arop.
Pada 18 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan lain memutuskan tiada pengosongan kerusi di kawasan Kota Siputeh selepas membenarkan rayuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Abu Hassan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan