Rabu, 14 September 2011

Tangguh cukai prabayar kerana BN bimbang tewas PRU-13, kata Mahfuz




KUALA LUMPUR— Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mendakwa kerajaan terpaksa menangguhkan cukai perkhidmatan enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar kerana bimbang ia akan mempengaruhi keputusan pilihan raya umum ke-13.

Tegas Mahfuz (gambar), sekiranya kerajaan meneruskan langkah menaikkan cukai perkhidmatan ia secara tidak langsung akan membebankan keperluan sara hidup rakyat.

“Saya percaya penangguhan ini kerana kebimbangan Barisan Nasional (BN) tentang keputusan pilihan raya umum ke-13 nanti kerana jumlah pemegang kad prabayar antara sembilan hingga 13 juta pengguna daripada 26 juta kad prabayar yang dikeluarkan, saya percaya setiap pemilik ada yang memegang dua atau tiga kad prabayar yang mana jumlah terbesar adalah pengundi, kerajaan bimbang dan mereka cari jalan untuk menangguhkan.

“Tapi saya percaya akhirnya selepas pilihan raya umum ke-13, caj cukai perkhidmatan ini akan kembali dilaksanakan kerana penangguhan yang dibuat ini kerana kebimbangan kesan kenaikan cukai ini boleh menentukan keputusan pilihan raya umum ke-13,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini.

Mengikut pengumuman 8 September lalu, pihak syarikat telekomunikasi akan mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus secara terus kepada pengguna bagi setiap transaksi tambah nilai dan pembelian pek permulaan bermula Khamis ini.

Kadar enam peratus ini sebenarnya telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan semenjak 1998 dan telah dikenakan secara terus kepada pengguna sistem pascabayar dan diserap oleh syarikat telekomunikasi bagi penggunaan sistem prabayar bagi memastikan kadar pakej yang kompetitif dan mampu milik, kata beliau.

Kelmarin, syarikat-syarikat telekomunikasi bersetuju menangguhkan cukai perkhidmatan enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata persetujuan itu diputuskan secara bersama oleh empat pengendali utama telekomunikasi.

Rais berkata penangguhan itu bagi membolehkan kajian semula dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan syarikat telekomunikasi berkenaan bagi menentukan bila perkhidmatan itu wajar dikenakan cukai serta kadar yang boleh dikenakan.

Mahfuz juga menyifatkan tidak wajar cukai perkhidmatan dikenakan kepada pengguna memandangkan syarikat telekomunikasi boleh “menyerapnya dalam kos mereka.”

“Saya mendapat maklumat syarikat-syarikat ini boleh menyerap hasil yang mereka dapat, apakah syarikat tidak perlu bayar cukai yang mana cukai perkhidmatan dikenakan kepada pengguna bukan syarikat, alasan kerajaan bahawa tidak tahu (mengenai kenaikan) adalah tidak munasabah kerana pelaksanaan cukai ini telah wujud sejak sekian lama, bermula dari satu peratus hingga lima peratus, ia sudah lama dilaksanakan.

“Cukai perkhidmatan adalah cukai yang dikenakan selepas mendapat perkhidmatan tapi dalam cukai perkhidmatan kad prabayar kita belum guna dah kena bayar, wajarhkan ia dikenakan? Bagi saya tidak wajar cukai perkhidmatan ini dikenakan kerana ia bertentangan dengan semangat cukai perkhidmatan,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena, kerajaan perlu mengkaji semula pelaksaan cukai perkhidmatan talian telefon prabayar.

“Ia merupakan satu paksaan ke atas pengguna, bagi saya tidak wajar kerajaan teruskan caj cukai perkhidmatan ke atas pengguna kerana ia akan membebankan, kalau kerajaan nak teruskan juga maka kerajaan mesti menyemak kembali Akta Pencukaian.

“Ada dua pilihan sama ada kerajaan hapuskan caj cukai perkhidmatan ini atau yang kedua kerajaan kenakan cukai perkhidmatan ke atas syarikat yang mana syarikat boleh menyerap kos, selain itu apa sahaja bentuk cukai perkhidmatan yang berkaitan dengan prabayar perlu kaji balik,” katanya.

Tiada ulasan: