Rabu, 21 September 2011

Pemohon PR diingatkan mengundi 'parti pemerintah'

Aidila Razak


Seorang pemastautin tetap yang memohon mendapatkan kewarganegaraan negara ini mendakwa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkannya bahawa tugas utamanya, jika diberi kerakyatan, mengundi “parti pemerintah ".

Dalam temu bual e-mel, pemohon yang lahir dan dibesarkan di Malaysia itu berkata, pegawai berkenaan berkata demikian ketika dia diwawancara dalam proses mendapatkan kerakyatan.

azlan"(Mereka bertanya kepada saya) Apa yang anda akan lakukan dengan kewarganegaraan Malaysia? Apakah tugas utama anda?

"Saya jawab bahawa saya akan sokong perjuangan anak-anak muda kerana ia minat saya," katanya, sambil meminta identitinya tidak didedahkan kerana bimbang menjejaskan permohonan itu.

"(Mereka menjawab) Salah! Jawapan yang betul ialah mengundi parti pemerintah kerana mereka memberi anda taraf penduduk tetap."

Pemohon yang menghubungi Malaysiakini Sabtu lalu berkata, ibu bapanya juga dimaklumkan perkara yang sama. Mereka berhijrah ke Malaysia dari Asia Selatan pada tahun 1970-an apabila ditawarkan jawatan profesional di negara ini.

"Saya tidak ingat apa yang saya katakan selepas itu, mungkin sesuatu tentang 'bagaimana jika parti pemerintah berubah pada masa depan, semasa saya layak mengundi,' yang mereka kata tidak mungkin,” katanya.

"Taraf penduduk tetap bukan 'hadiah'. Saya dilahirkan dan dibesarkan (di sini), tetapi kerana kekurangan jus soli, saya dilabel rakyat asing."

(Jus soli merujuk kepada prinsip bahawa kewarganegaraan seseorang ketika lahir ditentukan oleh tempat kelahiran.)

Tiada ulasan: