Selasa, 6 September 2011

Pelarian Uighur: Sikap hipokrit Umno-BN terserlah

"Kerajaan Malaysia memberi alasan tindakan diambil memandangkan 11 pelarian ini terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia," kata Nik Nazmi Nik Ahmad.



PETALING JAYA: PKR mengutuk sekeras-kerasnya sikap hipokrit Umno-Barisan Nasional (BN) dan pelanggaran hak asasi manusia berhubung layanan kerajaan Malaysia terhadap pelarian etnik Uighur dari wilayah Xinjiang di China.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sikap munafik Umno-BN ini terserlah apabila kerajaan menghantar pulang 11 pelarian Islam dari suku kaum Uighur yang mencari perlindungan di negara ini akibat ditindas oleh kerajaan China.

“Kerajaan Malaysia memberi alasan tindakan diambil memandangkan 11 pelarian ini terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) telah menyatakan lima lagi yang masih ditahan telah memohon status pelarian dengan UNHCR dan agensi tersebut telah meminta untuk bertemu dengan kesemua 16 pelarian Uighur tersebut.

“Tetapi permohonan UNHCR tersebut telah ditolak dan UNCHR telah melahirkan kekesalan mereka terhadap keputusan Kerajaan Malaysia tersebut,” jelas Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia.

Beliau berkata, pemerhati hak asasi manusia (HRW -Human Rights Watch) telah mengutuk tindakan kerajaan menghantar pulang 11 pelarian Uighur tersebut dan mendesak agar kerajaan tidak memulangkan lima lagi yang masih ditahan di Malaysia.

“Memulangkan mereka kepada Kerajaan Komunis China mendedahkan mereka kepada risiko serius diseksa,” ujar beliau.

Kerajaan China katanya, secara berterusan menganggap permintaan penggunaan bahasa Uighur serta mengamalkan agama Islam sebagai keganasan, pemberontakan dan penderhakaan.

Nik Nazmi menerangkan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) yang turut dianggotai Malaysia telah menyeru agar China mengatasi masalah asas penindasan masyarakat Uighur.

“HRW mendedahkan bahawa China telah menekan negara-negara seperti Malaysia, Thailand dan Pakistan untuk memulangkan pelarian Uighur.

“Trend ini bermula di Kemboja pada 2008 ketika negara tersebut dipaksa memulangkan 20 anggota masyarakat Uighur yang dilindungi oleh UNHCR termasuk seorang wanita hamil dan dua anak kecil ke China,” tegasnya.

Tindakan Malaysia dikecam


Menurut beliau lagi, di Amerika Syarikat, Perwakilan Republikan Chris Smith dan Senator Demokrat Sherrod Brown, yang mempengerusikan bersama Suruhanjaya Eksekutif Kongres mengenai China juga mengutuk tindakan Malaysia terhadap pelarian Uighur tersebut.

“Timbalan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Khalid Abu Bakar) pula mendakwa bahawa pelarian Uighur ini terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia. Namun mengapakah mereka tidak didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia tetapi dipulangkan ke China?

“Mengapakah Malaysia membenarkan campur tangan Kerajaan Komunis China dalam isu yang bukan sahaja melibatkan hak asasi manusia tetapi nasib umat Islam yang kononnya diperjuangkan Umno selama ini?,” soal beliau.

Tegasnya, “malang sekali bukti terbaru kelemahan pentadbiran pimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak berlaku bukan sahaja ketika umat Islam sedunia sedang meraikan Hari Raya tetapi ketika rakyat Malaysia meraikan kemerdekaan negara.

“PKR mendesak Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan bahawa lima pelarian Uighur yang masih ditahan di Malaysia dilayan sebagai pelarian sah mengikut undang-undang dan amalan antarabangsa,” ujar beliau.

Tiada ulasan: