Jumaat, 16 September 2011

PANAS BUKAN MENENTANG KERAJAAN.

Oleh : ENDRA

DAKWAAN pihak tidak bertanggungjawab menyatakan Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Anak Negeri Sabah (PANAS) sebagai badan pendesak atau penentang kerajaan adalah tidak benar.

Presidennya, Samson Quintin berkata, tuduhan tidak berasas tersebut ternyata bercanggah dengan hala tuju penubuhan PANAS itu sendiri yang mahu menyatu padu anak negeri di Sabah, selain mempertabatkan kebudayaan semua kaum.

Samson yang juga bekas Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berkata, penubuhan PANAS sejak dua tahun lalu adalah menjaga kebajikan anak negeri agar lebih terjamin dari segi pembelajaran, pembangunan dan ekonomi.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa PANAS adalah sebuah badan pendesak atau penentang kerajaan. Itu adalah tidak benar sama sekali dan penubuhan PANAS adalah menjaga kepentingan dan kebajikan anak negeri Sabah," katanya pada sidang akhbar di Kota Kinabalu, hari ini.

Samson berkata demikian bagi mengulas dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa persatuan itu sebagai badan pendesak atau penentang kerajaan seperti yang tersebar di laman sosial.

Hadir sama Naib Presiden III, Bitis Ampongou @ Hisham Abdullah dan Ketua Anak Negeri, Masdo Diakulahak.

Mengulas lanjut Samson berkata, PANAS yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hanya ingin memastikan semua hak anak negeri diperoleh dan mempertahankan kelebihan sedia ada.

Menurutnya, apa yang disuarakan oleh persatuan adalah demi mempertahankan hak sebagai anak negeri dan suara hati rakyat terhadap keinginan mereka dalam mencapai kejayaan.

Jelasnya, tidak pernah sesekali PANAS cuba untuk menjadi pencabar atau kumpulan pendesak kepada kerajaan yang telah banyak membantu membangunan Sabah kepada satu tahap yang membanggakan.

"PANAS sentiasa menyokong kerajaan yang telah banyak berjasa kepada anak negeri dan menjaga kepentingan serta hak semua kaum di negeri negeri dengan sebaiknya. Malah persatuan melihat kerajaan berkerja keras dalam menangani apa jua permalasahan termasuk status Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

"Sehubungan itu, saya bersama ahli jawatankuasa PANAS ingin menegaskan bahawa persatuan ini bukan lidah pembangkang atau pendesak kepada kerajaan. Malah kami merupakan penyokong penuh kerajaan," katanya.

Tiada ulasan: