KUALA LUMPUR: Badan Pemantau Pilihan Raya Adil dan Bebas Malaysia (Mafrel) menyarankan kajian terperinci mengenai ketahanan dakwat kekal turut dilakukan di Malaysia.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) berkata, semua pihak perlu tahu mengenai keberkesanan penggunaan dakwat kekal dalam proses pengundian sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Ia ekoran satu kajian yang dijalankan di Eropah mendapati dakwat kekal yang disarankan Pakatan Rakyat dalam proses pengundian mudah dipadam dengan bahan yang sedia ada di pasaran.
"Walau apa pun mekanisme yang ingin digunakan, kerajaan kena siasat secara spesifik," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Syed Ibrahim berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus mengkaji secara menyeluruh prosedur penggunaan dakwat itu dan sejauh mana ia boleh dipadamkan seperti yang didakwa kajian tersebut.
Kajian itu juga harus melibatkan parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) contohnya Mafrel sendiri.
"Kita kena meneliti hasil kajian di Eropah itu. Mungkin apa yang dimaksudkan, ia senang dipadamkan setelah beberapa hari, bukan pada hari pengundian," katanya
Beliau juga hairan secara tiba-tiba kajian itu wujud sedangkan sewaktu SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal di saat-saat akhir sebelum pilihan raya umum lepas, mereka memebri alasan ia atas faktor keselamatan.
Mereka mendakwa terdapat pihak yang turut membeli dakwat tiruan di Thailand selain yang dibeli kerajaan di India bernilai RM2.4 juta.
"Saya pun hairan kenapa tiba-tiba kata dakwat ini mudah dipadam. Dulu SPR batalkan penggunaanya atas sebab keselamatan, sekarang timbul kajian ini pula.
"Sebab itulah SPR harus menangani perkara ini dengan baik, buat satu kajian yang menyeluruh, bukan secara 'adhock' apabila timbul sesuatu isu," katanya yang juga Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).
Lebih baik dakwat kekal berbanding biometrik
Sementara itu, beliau tetap menegaskan bahawa penggunaan dakwat kekal lebih baik daripada biometrik dalam menangani isu pengundi hantu.
"Mafrel tetap menyokong penggunaan dakwat kekal yang kosnya lebih rendah berbanding biometik.
Jelas beliau, sistem biometrik memerlukan kajian yang lebih mendalam selain sukar untuk dilaksanakan kerana perlu mendapat pengesahan banyak pihak termasuk pengundi sendiri.
“Sistem biometrik ini kos lebih tinggi dan persoalannya adalah bagaimana sistem ini beroperasi dan ia juga memerlukan pengesahan dari semua pihak," katanya.
Penggunaan dakwat kekal merupakan salah satu daripada lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang mengadakan perhimpunan 9 Julai lalu di ibu negara. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan