Jumaat, 16 September 2011

Hisham: Akta baru ganti ISA tak ambil masa lama

MALAYSIA KINI


Proses menggubal undang-undang baru menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang telah dimansuhkan tidak akan mengambil masa yang lama kerana kerajaan tidak perlu membentangkan sebarang pindaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata undang-undang baru itu akan merujuk undang-undang di negara lain sebagai contoh.

"Undang-undang yang berhubung kait dengan keganasan, contohnya Akta Patriot di Amerika Syarikat, Akta Anti Keganasan di United Kingdom dan Australia, semua ini boleh dijadikan contoh dalam kita hendak memerangi keganasan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas ucapan khas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Malaysia di Auditorium Perdana Angkasapuri malam ini.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan terus ISA selain kajian komprehensif pihak kerajaan terhadap beberapa undang-undang lain, antaranya Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Polis 1967.

Kajian itu akan dimulakan dengan mengambil kira pandangan pihak dan agensi yang berkaitan, katanya.

Hishammuddin juga berkata fokus utama kerajaan selepas ini ialah mencari keseimbangan antara kepentingan dan keselamatan, serta kepentingan suasana demokrasi semasa dalam menggubal undang-undang baru itu.

Selepas pemansuhan ISA, kerajaan perlu lebih matang menangani risiko dengan pewujudan dua undang-undang baru yang bakal digubal.

"Risikonya berhubung kait dengan mencari keseimbangan antara keselamatan dan kepentingan negara, selaras dengan tuntutan dan suasana demokrasi semasa, jadi risiko dalam apa jua keadaan sentiasa wujud.

"Saya yakin dengan apa yang diumumkan malam ini, perjalanannya bermula dua tahun dahulu, dan ia telahpun mengambil kira pandangan pihak berkuasa seperti polis, tentera dan agensi yang terlibat dengan ISA," katanya.

Kira-kira 700 wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kakitangan awam menghadiri acara khas itu, yang diakhiri dengan nyanyian lagu sempena sambutan Hari Malaysia bersama-sama perdana menteri.- Bernama

Tiada ulasan: