SINAR HARIAN ONLINE
KUAH - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk parti politik mengadakan bantahan aman menggesa pengusaha feri penumpang menarik balik pembatalan harga tiket istimewa kepada penduduk Langkawi yang dinikmati sejak 2007.
Lebih 100 ahlinya berhimpun membantah tindakan pengusaha feri menarik balik diskaun sebanyak RM3 khusus untuk penduduk tempatan yang menggunakan khidmat feri ke tanah besar atau sebaliknya.
Perhimpunan aman bermula 9.30 pagi itu adalah yang kedua selepas perhimpunan pertama anjuran Pemuda Umno Bahagian Langkawi, Sabtu lalu.
Beberapa sepanduk bertulis ‘Kembalikan Hak Kami’, ‘Kembalikan Segera Harga Tiket Untuk Penduduk Langkawi’, ‘Neutralkan Semula Harga Tiket Feri’ serta ‘Kami Bukan Orang Kaya’ ditujukan kepada syarikat feri penumpang yang menaikkan harga tiket secara mengejut membabitkan perjalanan pada hari minggu, Jumaat, Sabtu dan Ahad, cuti sekolah dan cuti umum.
Ketua Pemuda Umno Langkawi, Nor Saidi Nanyan ketika ditemui di pekarangan Jeti Kuah berkata, syarikat feri menaikkan harga kepada penduduk Langkawi sejak Jumaat lalu sedangkan sejak empat tahun lalu, penduduk dan pemegang kad pengenalan beralamat di Langkawi diberi harga istimewa dengan potongan RM3 bagi setiap perjalanan berbanding harga pelancong.
“Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Laut digesa mengambil tindakan segera. Tindakan ini seolah-olah membelakangkan kebajikan penduduk di sini,” katanya.
Hadir sama pada perhimpunan itu, Yang Pertua Pas Langkawi, Zuber Ahmad dan Timbalan Pengerusi PKR Cabang Langkawi, Razali Abas.
Nor Saidi berkata, walaupun berbeza fahaman politik tetapi sebagai penduduk Langkawi, semua parti politik bersatu demi untuk kepentingan penduduk pulau ini.
"Kami yakin jika bantahan ini tidak dilakukan, pengusaha feri akan sewenang-wenangnya menaikkan tambang selepas ini dan ini membebankan pengguna,” katanya.
Zuber berkata, pihak pengurusan feri perlu sedar bahawa majoriti penduduk tempatan kini kurang senang dengan tindakan mereka menamatkan pemberian tambang diskaun itu.
“Keputusan drastik tanpa memberi notis awal menyebabkan pengguna yang tiba di jeti pada Jumaat lalu terpinga-pinga dan ini tidak wajar,” katanya.
Sementara itu, Razali menyifatkan langkah terbaru pengusaha feri itu membebankan pengguna, khususnya penduduk tempatan yang berulang-alik setiap hujung minggu menggunakan perkhidmatan feri dari Langkawi ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis.
“Pengusaha feri perlu faham, mereka boleh berniaga kerana adanya penumpang terdiri daripada pelancong dan penduduk tempatan. Mereka boleh buat untung tapi jangan sampai menyusahkan penduduk,” katanya.
Tambang tiket sehala dari Kuala Kedah ke Langkawi atau sebaliknya adalah RM23 tetapi penduduk Langkawi diberi harga istimewa, RM20 manakala dari Kuala Perlis ke Langkawi atau sebaliknya adalah RM18 harga biasa, RM15 untuk penduduk Langkawi.
Wakil ketiga-tiga parti politik itu kemudian menyerahkan memorandum daripada penduduk Langkawi kepada pengusaha syarikat feri, antaranya merayu syarikat terbabit menimbang semula pemberian harga istimewa itu.
Mengulas perkara sama, Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid berharap pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Laut, Pejabat Daerah, Kerajaan Negeri dan pengusaha syarikat feri serta wakil penduduk mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan masalah itu.
“Melalui perbincangan sahaja akan dapat selesaikan masalah yang dihadapi kedua-dua pihak. Namun Kerajaan Negeri juga harus memberi perhatian,” katanya.
Sementara itu, wakil sebuah syarikat feri, Ng Ean Soon berkata, kenaikan harga dibuat berikutan tidak lagi mendapat subsidi minyak diesel daripada kerajaan.
“Harap kerajaan dapat menimbang pemberian subsidi minyak kepada syarikat feri penumpang untuk membolehkan kami memberi harga istimewa kepada penduduk Langkawi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan