BUKIT ANTARABANGSA : Pakatan Rakyat akan terus memainkan peranannya sebagai kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat terutama dalam hal-hal berkaitan kelangsungan hidup rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, Azmin Ali dalam ucapannya ketika Majlis Perasmian Dewan Komuniti dan Penyerahan CF Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa hari ini berkata, buktinya sepanjang tiga tahun pemerintahan gagasan itu, beberapa masalah sijil layak menduduki yang tidak ditangani kerajaan terdahulu, berjaya diselesaikan.
“Soal sijil layak menduduki rumah-rumah kita telah pun dijelaskan oleh Tuan Haji Hamid sebentar tadi satu penantian yang begitu lama tetapi akhirnya dapat kita sempurnakan pada pagi ini dan InsyaAllah kita akan memberikan perkhidmatan yang terbaik seperti peranan yang telah diamanahkan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya,” jelas Azmin.
Turut hadir pada majlis penyerahan CF kepada penduduk ialah ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.
Seramai 150 penduduk Taman Bukit Mulia hari ini menerima CF yang disampaikan sendiri oleh Timbalan Presiden PKR itu setelah menunggu hampir 20 tahun.
Manakala bakinya seramai 330 orang lagi akan menerima CF secara berperingkat-peringkat.
Dalam pada itu, beliau juga turut mengingatkan penduduk di Taman Mulia supaya menghargai segala kemudahan yang disediakan agar semuanya berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan dalam tempoh masa yang panjang.
“Beberapa bulan yang lalu ketika saya hadir di taman ini untuk majlis gotong royong saya singgah ke dewan ini dan saya lihat keadaannya cukup uzur dan daif,”ujar beliau.
Namun ujarnya, dengan inisiatif bersama komuniti di kawasan itu, maka dewan yang dahulunya uzur kini berubah wajah dan boleh dimanfaatkan bersama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan