Cadangan Pakatan itu adalah lebih baik agar rakyat mampu membuat keputusan dengan lebih teliti.
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan permintaan Pakatan Rakyat agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi tempoh berkempen selama 21 hari bagi pilihan raya Sarawak adalah sesuatu yang munasabah.
Katanya, cadangan Pakatan itu adalah lebih baik agar rakyat mampu membuat keputusan dengan lebih teliti.
“Cara ini lebih baik untuk rakyat, mereka ada lebih masa untuk membuat keputusan….21 hari adalah munasabah kerana ia hanya berlaku pada empat ke lima tahun sahaja. Ia juga dapat memberi masa kepada parti untuk berkempen.
“Malaysia tidak perlu takut untuk berkempen dengan lebih lama kerana lebih lama lebih baik. Maka rakyat akan pilih wakil yang terbaik. Sama ada kerajaan atau Pakatan akan dapat lebih undi itu terpulang kepada rakyat untuk tentukan,” katanya.
Pakatan membuat cadangan itu memandangkan faktor-faktor geografi serta kedudukan kawasan luas bagi pilihan raya negeri Sarawak.
Namun SPR hari ini menetapkan hari penamaan calon untuk pilihan raya negeri Sarawak pada 6 April manakala hari pengundiannya pula diadakan pada 16 April.
Ini bermakna tempoh berkempen adalah selama 10 hari.
DUN Sarawak dibubarkan Isnin lalu dan pilihan raya hendaklah diadakan sebelum Julai tahun ini.
BN Sarawak yang dipimpin Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud menguasai 63 daripada 71 kerusi manakala pembangkang tujuh kerusi, termasuk satu masing-masing milik bebas dan Parti Cinta Malaysia.
Kali terakhir Sarawak mengadakan pilihan raya negeri ialah pada 20 Mei 2006.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan