Khamis, 24 Mac 2011

Suhakam tubuh Inkuiri Nasional kaji hak Orang Asal

Inkuiri ini khusus bagi mengkaji isu berkaitan mencabul, menafi dan menghadkan hak tanah Orang Asal.



KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan menubuhkan Inkuiri Nasional bagi mengkaji hak tanah adat Orang Asal di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata, pihaknya akan memulakanb inkuiri itu khusus bagi mengkaji isu berkaitan mencabul, menafi dan menghadkan hak tanah Orang Asal.

Perkara itu termasuk mengkaji hak tanah Orang Asal berdasarkan perlembagaan, undang-undang, pentadbiran dan politik.

“Artikel 8(5)(c) Perlembagaan Persekutuan menyebut kerajaan Persekutuan boleh menggubal undang-undang yang memberi perlindungan, kesejahteraan dan kemajuan Orang Asli (termasuk peruntukan tanah).

“Ini bermakna kerajaan negeri dan persekutuan perlu faham mereka bertanggungjawab terhadap kewajipan “fiduciary” kepada Orang Asal,terutama berkaitan tanah adat mereka.

“Fudiciary” bermaksud individu, pertubuhan atau persatuan yang memegang aset bagi pihak lain. Pada kebiasaannya, memiliki authoriti dari segi undang-undang.

“Saya ingin tekankan amat penting supaya pihak kerajaan, individu, syarikat dan pihak-pihak lain mengiktiraf dan menghormati kawasan, tanah adat serta kawasan yang diusahakan mereka agar tidak dicerobohi, dirampas dan diambil sewenangnya tanpa berunding dengan Orang Asal,” katanya.

Hasmy berkata demikian di hadapan kira-kira 80 wakil Orang Asal seluruh Semenanjung ketika merasmikan Bengkel Sistem Perundangan Orang Asli di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hak Orang Asal Suhakan Jannie Lasimbang berkata, sekumpulan panel yang akan dipengerusikan Hasmy serta sokongan lima badan penasihat bebas akan ditubuhkan tidak lama lagi.

“Inkuiri itu akan mengambil masa sehingga tahun 2012 sebelum satu laporan disiapkan dan dibentangkan untuk tindakan susulan,” katanya kepada FMT.

Syor kaji semula undang-undang tanah

Melalui hasil kajian itu nanti, pihaknya akan mengesyorkan kepada kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk mengkaji semula undang-undang tanah dan polisi agar hak dan masalah yang dihadapi Orang Asal dipatuhi.

Namun begitu, Hasmy mengingatkan masyarakat Orang Asal supaya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap usaha Suhakam melalui inkuiri itu.

“Walaupun sudah selesai (inkuiri) itu nanti, tak semestinya dapat selesaikan semua masalah.

“Sebagai pengantara, kami akan sediakan laporan yang seimbang dan akan syorkan perkara yang tertentu kepada kerajaan,” katanya ketika sesi rumusan bengkel.

Selain itu, beliau berkata masyarakat Orang Asal juga perlu berani menyuarakan hak mereka kepada wakil rakyat yang dipilih masing-masing.

“Selepas laporan (inkuiri) dibuat tetapi tak banyak tindakan dibuat, mesti suarakan apa yang tidak puas hati kepada wakil rakyat.

“Jangan nanti hanya berdiam diri dan salahkan Suhakam,” katanya.

Sementara itu, wakil Orang Asal dari Kampung Chang Sungai Gepai di Bidor, Perak, Tijah Yok Chopi, 43 berkata pengambilan tanah sering berlaku di kawasan penempatannya.

Kawasan penempatan termasuk hutan komuniti milik mereka diambil untuk dijadikan ladang getah, ladang ternakan dan kawasan perlombongan kuari.

Menurutnya, kawasan perkampungan yang didiami 164 keluarga itu juga kini berhadapan dengan krisis air sejak dicerobohi oleh ‘orang luar’.

“Tok Batin (pemimpin) kami semasa dahulu sangat takut dan menghormati orang luar sehingga membiarkan sahaja mereka mengambil tanah adat kami.

“Sekarang ini kami generasi baru tidak akan berdiam diri malah akan terus berjuang mempertahankan tanah yang kami warisi sejak dulu lagi.

“Saya juga berterima kasih dan berharap dengan inkuiri yang dijalankan Suhakam itu nanti akan menjadi langkah pertama bagi semua jalan penyelesaian yang kami hadapi,” katanya.

Tiada ulasan: