Jumaat, 25 Mac 2011

Kerajaan Selangor Kutuk Video Fitnah Terhadap Anwar Ibrahim

SELANGOR KINI

SHAH ALAM - Penyebaran rakaman video lucah yang memfitnah Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat memalukan dan menjatuhkan maruah umat Islam dan orang Melayu, tegas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini hari ini.

“Hari ini tiga orang telah mengaku menyimpan, menonton dan mempertontonkan video lucah ini yang menunjukkan betapa rendah moral pemimpin yang mengakui mereka mewakili orang Islam Melayu di Malaysia,” katanya.

Tegas Khalid, perbuatan ini bukan saja menyalahi etika, malah ia turut bercanggah dengan ajaran mana-mana agama yang menekankan keadilan, keamanan dan kebaikan.

Jelas beliau, perbuatan ini adalah untuk meraih sokongan orang Melayu dengan cara yang amat memalukan serta menjijikkan.

“Tetapi saya amat yakin, orang Melayu Islam adalah lebih bijak dan tidak mudah disogok dengan fitnah seperti ini,” tegas Tan Sri Khalid.

Justeru Tan Sri Khalid berharap agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan adil dan telus terhadap laporan polis yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk mengambil tindakan terhadap tiga individu yang telah mengaku memiliki, menonton dan mempertontonkan rakaman video lucah tersebut.

Hari ini dilaporkan bahawa Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik mengaku beliau adalah dalang di sebalik penyebaran video lucah yang cuba mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut sama dikaitkan dengan trio ‘Datuk T’ itu adalah Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Agung Perkasa merangkap bekas Senator Dewan Negara, Shuib Lazim.

Tiada ulasan: