Jumaat, 25 Mac 2011

Inflasi 2011 : Dijangka 2.5 – 3.5 Peratus

BERNAMA

KUALA LUMPUR– Inflasi dijangka berpurata antara 2.5-3.5 peratus pada tahun 2011 dan akan terus didorong oleh faktor penawaran,terutama harga komoditi global yang lebih tinggi, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM dalam Laporan Tahunan 2010 menyatakan harga komoditi global dijangka meningkat disebabkan oleh gangguan dalam bekalan akibat keadaan cuaca, perkembangan geopolitik, kegiatan spekulatif dan permintaan yang kukuh daripada ekonomi sedang pesat membangun.

Dalam negeri, sebagai sebahagian daripada langkah pengurangan subsidi kerajaan, satu siri pelarasan harga barangan tadbir dijangka dilaksanakan pada 2011.

“Bagaimanapun, pelarasan harga dijangka beransur-ansur, dan ini akan membantu membendung kesan inflasi secara keseluruhan,” kata BNM.

Julat ramalan yang lebih luas mencerminkan bertambahnya ketidakpastian dalam persekitaran luar dan dalam negeri, terutama harga makanan dan tenaga global,serta masa dan tahap pelarasan pada harga tadbir oleh kerajaan.

Dari segi penawaran, harga komoditi global dijangka meningkat berikutan gangguan dalam bekalan akibat keadaan cuaca, perkembangan geopolitik,kegiatan spekulatif dan permintaan yang kukuh daripada ekonomi sedang pesat membangun.

Bagi minyak mentah, laporan terkini Prospek Ekonomi Dunia Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF WEO) pada Januari 2011 mengunjurkan kenaikan harga minyak mentah kepada purata AS$90 setong pada 2011 (AS$79.5 setong pada 2010).

Unjuran IMF ini adalah sama dengan tinjauan ramalan penganalisis oleh Bloomberg pada awal Februari 2011, yang menunjukkan unjuran median yang menghampiri paras AS$90 setong.


Tiada ulasan: