Selasa, 5 Januari 2010

Mahkamah dengar rayuan angkasawan 15 Januari

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam, menetapkan 15 Januari ini untuk mendengar rayuan angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor terhadap keputusan Mahkamah Sesyen menolak permohonannya bagi membatalkan saman dikemukakan bekas pembantu peribadinya.

Rayuan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan & Kuasa-Kuasa Khas) di sini.

Pada 27 Oktober lalu, Hakim Madihah Harullah menolak dengan kos permohonan Sheikh Muszaphar itu selepas mendapati saman dikemukakan bekas pembantunya, Norlina Nordin mempunyai merit untuk dibicarakan.

Peguam Dzaki Ezhar Bahar, yang mewakili Sheikh Muszaphar berkata Timbalan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Mazni Julaihi menetapkan 9 Februari ini untuk sebutan kes saman itu selepas kes berkenaan disebut di hadapannya.

Dalam saman yang difailkan pada 25 Julai 2008, Norlina, yang juga seorang ahli perniagaan, mendakwa Sheikh Muszaphar tidak menjelaskan upah perkhidmatan kepadanya sebagai pembantu peribadi seperti yang dipersetujui mereka dalam surat pelantikan bertarikh 2 April 2008.

Norlina mendakwa pada 28 Mei 2008, beliau menerima surat penamatan perkhidmatannya daripada Sheikh Muszaphar (defendan) sebagai pembantu peribadi selepas berjaya mendapatkan pelbagai kontrak termasuk projek di bawah televisyen berbayar, Astro.

Pemecatan itu menimbulkan perasaan tidak puas hati Norlina, berikutan itu, Norlina memohon wang berjumlah RM45,000 sebagai upah yang adil dan munasabah sepanjang perkhidmatannya sebagai pembantu peribadi, selain menuntut ganti rugi sebanyak RM47,751 sebagai ganti rugi am dan lain-lain kos yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Sheikh Muszaphar dalam pembelaannya menafikan pelantikan Norlina sebagai wakilnya dalam sebarang urusan khasnya dalam perniagaan.

Beliau turut memfailkan tuntutan balas terhadap Norlina menuntut bayaran berjumlah RM25,000 yang diambilnya daripada Majlis Tindakan Negeri Sembilan (MTNS) yang sepatutnya dibayar kepada defendan.

Tiada ulasan: