Jumaat, 29 Januari 2010

Tunku Ismail Tunku Mahkota Johor


TUNKU Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim membaca ikrar taat setia sebagai Tunku Mahkota Johor di Istana Besar, di Johor Bahru, semalam.

BERNAMA

JOHOR BaHRU 28 Jan. - Raja Muda Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor, hari ini.

Pemasyhuran berdasarkan Undang-Undang Tuboh Negeri Johor 1895, diisytiharkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, di Istana Besar, di sini, pada pukul 3.20 petang.

"Setelah diisytiharkan sebagai Sultan, saya berhak dan bertanggungjawab mengikut Undang-Undang Tuboh Negeri Johor memilih dan melantik seorang waris bergelar Tunku Mahkota Johor.

"Bahawasanya, bagi menjalankan tugas di bawah perenggan 1, fasal 7, bahagian pertama Undang-Undang Tuboh Negeri Johor 1895, saya, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor mengikut nasihat Jumaah Diraja dengan ini memilih dan melantik anakanda Duli Yang Maha Mulia Tunku Ismail menjadi waris takhta kerajaan Johor dan digelar Tunku Mahkota Johor," isytihar baginda.

Sejurus perisytiharan itu, Tunku Ismail menjunjung kasih ke atas ayahanda baginda atas limpah perkenan dilantik sebagai waris takhta Johor.

Tunku Ismail turut melafaz taat setia untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas selain mendoakan kesejahteraan ayahanda baginda, Sultan Ibrahim dan bonda baginda, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris serta rakyat Johor.

Istiadat pemasyhuran itu turut disaksikan kerabat diraja yang lain dan Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot membacakan doa sejurus istiadat pemasyhuran selesai.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Datin Prof. Dr. Jamilah Ariffin, barisan Exco dan Anggota Dewan Undangan Negeri Johor serta pegawai-pegawai kerajaan.

Tunku Ismail, 26, dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor menggantikan Sultan Ibrahim yang dimasyhur sebagai Sultan Johor, Sabtu lepas.

Pemasyhuran bagi mewarisi takhta Johor itu berikutan kemangkatan nenda baginda Sultan Iskandar, Jumaat lepas.

Diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bharu, Tunku Ismail merupakan putera sulung daripada enam adik-beradik kepada Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah.

Tunku Ismail dilantik sebagai Raja Muda Johor ketika ulang tahun keputeraan nenda baginda, Almarhum Sultan Iskandar pada 8 April 2006.

Tunku Ismail memulakan persekolahan di Sekolah Sri Utama Johor Bharu dan Sekolah Kebangsaan Kebangsaan St. Joseph, Johor Baharu sebelum meneruskan pengajian di Australian International School, Singapura dan Hale School, Perth, Australia, mulai tahun 1999 hingga 2002.

Untuk tujuan pendidikan dan disiplin yang tinggi setaraf dengan bakal raja, Tunku Ismail dihantar menjalani latihan ketenteraan dan pelajaran sebagai pegawai kadet di akademi tentera terulung, Indian Military Academy (IMA), Dehradun, India, mulai Julai 2003.

Tunku Ismail dikurniakan pangkat Leftenan selepas tamat latihan pada 11 Disember 2004 dan diserapkan ke dalam Angkatan Tentera India yang bertugas sebagai pegawai dalam Rejimen 61 Cavalry, Jaipur, India.

Tiada ulasan: