UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Pelaksanaan sistem pengundian secara elektronik (e-undi) dalam pilihan raya kampus di Universiti Malaya (UM) hari ini, akan dipantau oleh Badan Pemantau Pilihan Raya Adil dan Bebas (Mafrel) bagi menjamin ketelusan pilihan raya itu.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM, Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Idris berkata, pihaknya membenarkan kumpulan Pro-Mahasiswa melantik Mafrel sebagai badan bebas untuk membuat pemantauan itu.
"Pihak UM sedia membayar kos perkhidmatan yang diminta oleh Mafrel bagi membuktikan tiada penglibatan HEP UM dalam sistem tersebut.
"Sepatutnya sistem itu dilaksanakan pada 2007 tetapi ditangguhkan kerana menerima bantahan daripada mahasiswa yang diketuai oleh Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya semalam.
Azarae berkata, Pusat Teknologi Maklumat Universiti Malaya (PTM) mengambil masa dua tahun untuk membangunkan sistem tersebut dan sepanjang tempoh itu wakil persatuan pelajar termasuk PMIUM dijemput menyuarakan pandangan mereka.
"Pada pilihan raya kampus tahun lalu, sistem e-undi digunapakai dalam proses pendaftaran pengundi dan statistik undian tanpa mengalami sebarang masalah.
"Saya yakin sistem ini mampu melancarkan pilihan raya kali ini dan persediaan awal telah dilakukan dengan mengadakan sesi taklimat kepada mahasiswa sejak tiga bulan lalu," jelasnya.
Mengulas tempoh berkempen, Azarae berkata, tempoh tiga hari yang diberikan adalah sesuai pada ketika ini kerana calon boleh menggunakan laman blog dan SMS untuk berkempen.
"Teknologi yang moden ketika ini sangat membantu calon-calon memperkenalkan diri mereka dan menjimatkan masa," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan