|
|
KUCHING - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM470 juta untuk merapatkan jurang digital di Sarawak di bawah Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, peruntukan tersebut digunakan untuk melaksanakan program PPS di Sarawak sepanjang tempoh lima tahun bermula tahun ini.
Menurutnya, program-program itu meliputi kumpulan yang kurang diberi perkhidmatan dalam masyarakat termasuk dua pusat orang kurang upaya (OKU), penambahan sebanyak enam pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) dan 37 Perpustakaan Jalur Lebar (PJL).
''Kerajaan juga sedang giat melaksanakan program penambahan menara selular secara berperingkat-peringkat dengan 203 menara telekomunikasi baru akan dibina bermula suku pertama tahun ini.
''Pada masa ini, kadar penembusan jalur lebar di Sarawak hanya 19.3 peratus bagi setiap 100 isi rumah dan dengan peruntukan tersebut, kerajaan yakin kadar itu selari dengan penembusan jalur lebar di peringkat kebangsaan iaitu 31.4 peratus," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran MyIX dan Pusat Jalur Lebar Komuniti Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Masyarakat Lundu dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, Rais berkata, pemilikan komputer di kalangan rakyat merupakan salah satu jalan keluar untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar di seluruh negara sekali gus mencapai sasaran 50 peratus pada penghujung tahun ini.
Menurutnya, kementeriannya berusaha membekalkan komputer yang berkualiti pada harga kompetitif iaitu hanya RM900 atau kurang bagi memastikan rakyat mampu mengakses Internet yang secara tidak langsung meningkatkan penggunaan jalur lebar di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan