Selasa, 5 Januari 2010

Lima pasangan kembar di SK Bukit Beruntung

BERITA HARIAN ONLINE





LIMA pasangan kembar Tahun 1 SK Bukit Beruntung, Hulu Selangor (barisan belakang dari kiri) Muhammad Najmi, Muhammad Nazmi, Aiman Hakeem, Aiman Hazeem bersama rakan lain (depan) Muhammad Hazim, Muhammad Haziq, Amirun Hazim dan Amirul Hazim, Dania Nasreen dan Damia Nasreen gembira memulakan hari pertama persekolahan.


BUKIT BERUNTUNG: Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung di sini mencatat sejarah apabila menerima kemasukan pendaftaran lima pasangan kembar seiras yang memulakan sesi persekolahan Tahun Satu semalam.

Kelima-lima pasangan itu yang masing-masing berusia 7 tahun ialah empat kembar lelaki, Muhammad Najmi Zamrus dan Muhammad Nazmi; Aiman Hakeem Fazly dan Aiman Hazeem; Amirun Hazim Fauzi dan Amirul Hazim serta Muhammad Hazim Iman Shahibul dan adiknya, Muhamma Haziq Iman.

Pasangan kembar perempuan ialah Dania Nasreen Abd Aziz dan Damia Nasreen.

Muhammad Hazim Iman berkata, pengalaman pertama memasuki alam persekolahan bersama kembarnya, Muhammad Haziq Iman memberi kenangan manis kerana mereka mendapat perhatian rakan lain.

"Saya gembira dapat belajar dan berkawan dengan empat pasangan kembar seiras dalam Tahun Satu di sekolah ini.

"Walaupun belajar dalam kelas berbeza, kami dapat bertemu dan berbincang bersama waktu rehat setiap hari," katanya ketika ditemui Berita Harian di sini, semalam.

Sementara itu, Guru Besar, Abd Ghani Md Hassan, berkata lima pasangan kembar terbabit adalah daripada keseluruhan 288 murid Tahun Satu yang mendaftar pada sesi persekolahan tahun ini.

"Kita membuka lapan kelas untuk Tahun Satu. Suasana pembelajaran lebih selesa kerana sekolah ini mempunyai bilangan kelas yang cukup dan jumlah murid berkurangan berbanding tahun lalu," katanya.

Abd Ghani, berkata murid Tahun Satu sudah menghadiri sesi hari suai kenal pada Sabtu lalu sebelum memulakan kelas sebenar semalam.


Tiada ulasan: