BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah RM2 juta oleh bapa Nurin Jazlin terhadap Ketua Polis Negara dan dua yang lain, akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini, 10 November ini.
Timbalan Pendaftar, K Pavani, menetapkan tarikh perbicaraan itu ketika pengurusan kes tersebut hari ini.
Pada 21 Ogos 2008, Jazimin Abdul Jalil, bapa Nurin, kanak-kanak berumur lapan tahun yang dibunuh dengan kejam tiga tahun lalu menamakan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar; Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan dalam samannya berhubung pernyataan fitnah kononnya dia kehilangan Nurin kerana terbabit dengan “Along”.
Jazimin berkata pernyataan seorang defendan dalam artikel di sebuah akhbar tempatan yang bertajuk "Siasat Ah Long Larikan Nurin", mencemarkan nama baik serta reputasinya, apabila ia membawa maksud beliau (Jazimin) meminjam wang dengan Along dan membahayakan keselamatan keluarganya kerana berurusan dengan Along.
Dalam samannya itu, beliau menuntut ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi memburukkan, ganti rugi teladan, dan ganti rugi atas reputasinya yang tercemar.
Nurin didapati hilang ketika keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini, pada 20 Ogos 2007 sebelum mayatnya dijumpai pada 17 September, iaitu 27 hari selepas kehilangannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan