Jumaat, 29 Januari 2010

Gaya laporan media harus berubah - Rais

UTUSAN ONLINE


PORT DICKSON - Gaya laporan media cetak dan elektronik tempatan harus berubah seiring dengan peredaran masa serta tidak lagi dikongkong dengan corak penyampaian lapuk dalam usaha menjadikan ia sebagai medium utama masyarakat.

Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sekiranya media masih mengamalkan corak penyampaian yang ketinggalan zaman, pembaca mungkin beralih kepada internet dan menjadikan ia sebagai sumber utama bagi mendapatkan maklumat.

''Editor tidak seharusnya menerbitkan sesuatu berita yang mereka rasakan pembaca harus baca atau menjadi ia satu alat untuk menyebarkan propaganda.

''Sekiranya amalan ini diteruskan pembaca akan beralih kepada internet yang bebas melaporkan apa sahaja yang pembaca ingin tahu," katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa dan Bengkel Kebebasan dan Tanggungjawab Kewartawanan di The Legend Water Chalets di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Penerangan, Datuk Azmi Ali.

Persidangan selama dua hari itu disertai oleh 30 wartawan muda dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Nigeria, Pakistan, Sri Lanka, Sudan, Iran dan Vietnam.

Tiada ulasan: