SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor sedia membantu polis berhubung kes penemuan empat kepala dipercayai babi hutan yang diletakkan di dua buah masjid di Masjid Imam At.Tarmizi, Taman Sri Sentosa dan Masjid Jumhuriah, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya kelmarin.
Pengarah Perhilitan Selangor, Rahmat Topani berkata, setakat ini, polis bagaimanapun masih belum menghubungi pihaknya untuk mendapatkan bantuan bagi mengenalpasti jenis serta maklumat lain berhubung penemuan haiwan itu.
“Sekiranya bantuan kita diperlukan, Perhilitan akan menghantar wakil untuk membuat pengesahan sama ada kepala haiwan itu adalah dari spesis babi hutan atau biasa.
“Selain itu, Perhilitan juga boleh membantu dari segi untuk mengenalpasti sama ada haiwan itu adalah haiwan tempatan atau berasal dari negara luar dengan menggunakan kaedah ujian asid deoksiribonukleik (DNA),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabatnya di Perhilitan Selangor, di sini, semalam.
Menurutnya, ujian itu hanya boleh dijalankan sekiranya sampel daging haiwan itu diperoleh, namun kaedah ini hanya dapat membantu mengesan maklumat asas seperti yang dinyatakan.
“Ini adalah kerana buat masa ini, kita masih belum mempunyai penyelidikan khusus berhubung haiwan itu,”katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan