Sabtu, 30 Januari 2010

Gagal lagi dapat DNA Saiful

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali


PUTRAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi gagal dalam cubaannya untuk mendapatkan dokumen dan material penting termasuk sampel DNA bekas pembantunya, Mohd Saiful Azlan daripada pihak pendakwaan bagi menyediakan hujah pembelaan terhadap tuduhan kes liwat yang dihadapinya.

Ini berikutan keputusan tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria yang bersidang bersama Datuk Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 November tahun lalu membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyekat Anwar daripada dibenarkan akses kepada dokumen dan material itu.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagaimanapun mempunyai satu lagi peluang untuk mendapatkan dokumen berkenaan melalui permohonan semakan mengikut Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 yang membolehkan Mahkamah Persekutuan menyemak kembali keputusan yang dibuatnya sendiri.

Dalam penghakiman setebal 31 muka surat yang dibacakan oleh Abdull Hamid, ketiga-tiga hakim sebulat suara menolak rayuan Anwar dengan alasan perbicaraan kes liwat terhadap Anwar belum bermula dan pada peringkat ini adalah memadai jika Anwar hanya dikemukakan dokumen berkaitan pertuduhan.

“Pada pandangan kami permohonan perayu (Anwar) ini dibuat pada tahap ‘sebelum peringkat perbicaraan’ dan bukannya ketika ‘perbicaraan sedang berlangsung’. Kami bersetuju dengan prinsip dalam kes ‘Raymond Chia lwn Pendakwa Raya’ bahawa perayu hanya berhak mendapatkan dokumen dan material berkaitan pertuduhan bagi menyediakan hujah pembelaan.

“Sehubungan itu budi bicara mahkamah mengikut Seksyen 51 Kanun Acara Jenayah (KAJ) tidak sepatutnya diguna pakai bagi membolehkan tertuduh dibekalkan dengan dokumen dan material penting sebelum perbicaraan bermula seperti pemeriksaan dokumen dalam prosiding kes sivil,” katanya.

Anwar, 63, didakwa meliwat Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun 2008.

Beliau memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan seterusnya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang yang memberinya kebenaran untuk mendapatkan dokumen terbabit.

Abdull Hamid berkata, peguam Karpal Singh mewakili Anwar berhujah dokumen yang diperlukan anak guamnya adalah penting dan relevan bagi persediaan kes pembelaannya.

“Bagaimanapun, pada peringkat ini hujahan pembelaan bukan lagi satu pertimbangan yang patut diambil kira oleh mahkamah.

“Oleh itu, permohonan perayu tidak sepatutnya menjadi satu ‘perbicaraan mini’ bagi menentukan apakah hujah pembelaannya terhadap pertuduhan itu. Perayu tidak boleh menyatakan apakah pembelaannya pada peringkat ini dan sehubungan itu memerlukan akses kepada beberapa dokumen penting untuk menyokong hujah pembelaannya itu,” katanya.

Tiada ulasan: