Ahad, 31 Januari 2010

Pasar Tani Siswazah ditubuh di Unimas

BERITA MINGGU


KUCHING: Pasar Tani Siswazah (PTS) akan diwujudkan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Samarahan dekat sini, awal Mac depan, bagi melatih pelajar institut pengajian tinggi (IPT) awam di negeri ini menceburi bidang keusahawanan berasaskan pertanian.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Negeri Sarawak Paza Dan, berkata, 30 gerai PTS yang menjual pelbagai hasil pertanian dan produk perusahaan kecil sederhana (PKS) berasaskan pertanian akan mula beroperasi di Unimas kira-kira sebulan lagi.

Beliau berkata, langkah mewujudkan PTS di Unimas hasil perbincangan antara Fama Negeri Sarawak dengan Pusat Pemajuan Pelajar (PPP) Unimas berhubung dengan perkara itu, awal bulan lalu.

Katanya, persetujuan itu dicapai berikutan Unimas kini sedang mencari kaedah bersesuaian untuk melatih dan menggalakkan pelajarnya menceburi bidang keusahawanan berasaskan pertanian.

“Untuk permulaan 30 gerai yang menjual pelbagai hasil pertanian dan produk PKS berasaskan pertanian diwujudkan PKS di Unimas, Mac depan.

“Berikutan Unimas tidak mempunyai produk berkaitan, beberapa peserta Pasar Tani di Samarahan digalak untuk mengambil bahagian dalam PTS itu,” katanya kepada pemberita, selepas menghadiri Majlis Taklimat Fungsi Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kepada Ketua-Ketua Masyarakat Serta Ahli Jawatankuasa Majlis Pembangunan Pertanian Pertanian Parlimen (MPPP) Stampin, di sini, semalam.

Majlis yang dikelolakan oleh Fama Negeri Sarawak dan MPPP Stampin itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng

Tiada ulasan: