Selasa, 5 Januari 2010

Polis Sarawak sudah siap sedia hadapi pilihan raya negeri

BERITA HARIAN ONLINE


KUCHING: Polis Sarawak sudah bersiap sedia dari semua aspek bagi menghadapi pilihan raya umum negeri Sarawak ke-10 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa mulai sekarang sehingga tahun depan.

Ini berikutan tempoh kerajaan Sarawak akan tamat pada 24 Julai 2011, dengan sejarah pilihan raya umum negeri ini pernah diadakan antara tiga bulan hingga setahun lebih awal.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh, berkata walaupun tarikh sebenar pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan belum diketahui, tetapi pasukan polis kontinjen Sarawak telah bersiap sedia bagi menghadapinya, dengan latihan berterusan sentiasa diadakan.

Beliau berkata, sekiranya pilihan raya itu diadakan dalam tempoh sebulan dari sekarang pun anggotanya mampu melaksanakan tanggungjawab mereka dalam memastikan kelancaran proses demokrasi serta keselamatan pengundi.

“Polis sentiasa bersiap sedia dan tiada masalah dalam menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri diadakan tahun ini dan kita mempunyai kemampuan dalam menghadapinya kerana latihan seperti mengawal rusuhan dan perkara berkaitan pilihan raya sentiasa diadakan.

“Walaupun menghadapi masalah kekurangan dari segi logistik dan anggota ia dapat diatasi dengan mendapatkan bantuan dan sokongan dari negeri lain,” katanya selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Bahagian Pengurusan di Ibu pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Jalan Badruddin dekat sini, semalam.

Pada majlis itu bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner II (SAC II) Datuk Ahmad Sofian Md Yassin, mengambilalih tugas Ketua Jabatan Pengurusan PDRM Kontinjen Sarawak daripada Asisten Komisioner (ACP) Albert Lunju Amin, yang memangku tugas itu selama enam bulan.

Tiada ulasan: