Ahad, 31 Januari 2010

Syor tambah Pusat Pemulihan komuniti

Perbanyak tempat latihan untuk OKU

Oleh Nor Fariza Ramlan


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang untuk memperbanyakkan lagi Pusat Pemulihan Komuniti di seluruh negara yang akan bertindak sebagai pusat latihan kepada Orang Kurang Upaya (OKU).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun, berkata setakat ini kementerian sudah mewujudkan 409 Pusat Pemulihan Komuniti yang memberi faedah kepada 17,435 kanak-kanak dan OKU di seluruh negara.

"Ia mendapat sambutan yang menggalakkan dikalangan masyarakat, malah bagi memperbanyakkan lagi pusat itu, kementerian memerlukan maklum balas pemimpin setempat bagi mengenalpasti kawasan yang sesuai untuk dibangunkan.

"Bagi kanak-kanak kurang upaya yang tinggal di kawasan berkepadatan tinggi seperti perumahan kos rendah, kewujudan pusat sebegini akan menyediakan aktiviti seperti kelas tambahan dan sesi kaunseling kepada mereka," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Parti Tahunan ke-12 Kanak-Kanak Kiwanis bertempat di Taman Tema Sunway Lagoon, di sini semalam.

Chew berkata, Pusat Pemulihan Komuniti ini memberi perkhidmatan seperti diagnosis, pemulihan, perawatan dan menyediakan pembelajaran khas serta kemahiran vokasional bagi membantu orang kurang upaya dalam mendapatkan pekerjaan.

Mengulas mengenai pembabitan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Kiwanis dalam menjaga kebajikan kanak-kanak, beliau berkata, NGO perlu bersama menyokong usaha kerajaan dalam penyediaan perlindungan kepada golongan itu terutama mereka yang kurang bernasib baik dan kurang upaya.

"Jika kita lihat kembali, dalam Bajet 2010 pihak kerajaan bersetuju untuk menaikkan elaun dari RM50 ke RM150 bagi kanak-kanak kurang upaya yang mendaftar di bawah sekolah kelolaan NGO dan 4,000 kanak-kanak berdaftar mendapat manfaat itu.

Sementara itu sebagai menyokong usaha Kelab Kiwanis mengurus dan menjalankan 19 pusat khusus untuk penjagaan kanak-kanak kurang bernasib baik, Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM30,660 bagi mereka yang bernaung di bawah kelab itu.

Tiada ulasan: