Ahad, 31 Januari 2010

Isu Agama: Majlis Gereja Kecewa Pendirian Kerajaan

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Majlis Gereja Malaysia kecewa dengan pendirian terbaru kerajaan yang tidak bercadang menubuhkan Majlis Perundingan Agama yang sebelum ini dianggap platform terbaik bagi membolehkan wakil agama berbincang menangani isu-isu yang berkaitan pada masa depan.

Presidennya, Rev. Dr Thomas Phillips berkata, pihaknya keliru dengan pendirian sebenar kerajaan berhubung isu persefahaman agama di negara ini.

"Sekarang kami sudah keliru dengan apa yang berlaku kerana sebelum ini kerajaan kata serius nak tubuhkan majlis berkenaan... tapi sekarang tak jadi nak tubuhkan pula," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak bercadang menubuhkan Majlis Perundingan Agama kerana dialog tertutup yang diadakan bagi menangani isu-isu sensitif termasuk penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly sudah memadai.

Muhyiddin berkata proses dialog adalah yang terbaik bagi mencari satu titik pertemuan, mewujudkan sifat saling hormat-menghormati serta memastikan tidak tercetus perasaan yang boleh membawa perkara kurang baik kepada negara.

Bagaimanapun laporan sebelum ini menyatakan kerajaan serius untuk memikirkan penubuhan majlis perundingan antara agama bagi menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan agama.

Selain itu, Dr Thomas yang juga Pengerusi Majlis Perunding Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao berkata, pihaknya tetap dengan pendirian bahawa majlis rundingan antara agama merupakan jalan terbaik bagi menyelesaikan isu-isu sensitif yang berkaitan.

"Majlis seperti ini adalah sangat penting kerana melaluinya semua wakil agama boleh duduk berbincang sekurang-kurangnya sebulan sekali.

"Apabila satu majlis khas dibentuk, ini bermakna setiap wakil agama mempunyai komitmen untuk disumbangkan kepada perpaduan agama di negara ini," katanya.

Jelas beliau, majlis dialog seperti yang disarankan oleh kerajaan tidak cukup untuk menangani isu yang berkaitan dengan hal ehwal agama.

"Dialog sahaja tidak cukup, kita hanya berdialog kalau ada isu... kalau tak ada, kita tak akan berjumpa.

"Melalui dialog sesuatu isu sukar untuk ditangai dengan segera, ia berbeza kalau kita ada majlis perundingan yang akan sentiasa berbincang dari semasa ke semasa," katanya.

Tiada ulasan: