Selasa, 26 Januari 2010

Siasatan lawatan Disneyland diserah ke Putrajaya

Christine Chan



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiapkan siasatan dakwaan penyalahgunaan dana awam untuk lawatan bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo ke taman tema Disneyland di Perancis dan Amerika Syarikat.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Jaafar Mahad berkata kini terpulang kepada peguam kanan persekutuan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk mengambil lanjut.

"Saya dimaklumkan SPRM Putrajaya telah menyelesaikan siasatannya mengenai itu dan (hasilnya) telah dihantar ke peguam kanan persekutuan.

"Sekarang, peguam kanan persekutuan akan menyiasat perkara itu dari semua sudut perundangan, berdasarkan keterangan yang diberikan," katanya dalam sidang di pejabatnya di Shah Alam hari ini, lapor Bernama.

Mohd Khir didakwa menggunakan dana kerajaan negeri untuk membuat dua "lawatan teknikal" ke taman tema di Perancis dan Amerika Syarikat pada 2004 dan 2007, yang dikatakan membabitkan perbelanjaan kira-kira RM1.7 juta wang anak syarikat kerajaan negeri Permodalan Negeri Selangor Bhd.

Sebelum itu, pada kira-kira jam 11.30 pagi tadi, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor telah menghantar 'rombongan' ke pejabat SPRM di Shah Alam, dengan membawa replika 'Disneyland'.

Ia merupakan satu 'ingatan' kepada SPRM supaya membuka segera kes lawatan Khir ke Disneyland, pada 2004.

Dalam satu kenyataan, Abdul Razak Ismail - pegawai kepada exco kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar, berkata pejabat baru bahagian aduan SPRM kini terletak di Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Ketua AMK Selangor, Khairul Anwar Ahmad Zainuddin ketika berucap di perkarangan bangunan PKPS berkata, mereka kesal dengan penahanan Hussein Ahmad, pegawai khas exco kerajaan Selangor, Yaakob Sapari, yang didakwanya dibuat tanpa sebarang bukti kukuh.

Katanya, Hussein direman selama lima, sedang SPRM tidak menahan reman Khir Toyo semasa siasatan dilakukan.

Kira-kira 30 anggota AMK Selangor turut memakai telinga ala 'mickey mouse' sebagai satu peringatan kepada SPRM supaya jangan berat sebelah dan melalukan 'pendakwaan terpilih' dalam mendakwa mana-mana pihak.

Tiada ulasan: